Tuesday, 26 December 2017
Pengeras tudung laris di pasaran
SEJAK kebelakangan ini, produk pengeras tudung atau semburan wangian tudung banyak dijual di pasaran bagi membantu golongan wanita berhijab membentuk tudung yang dipakai.
Pengeluaran produk itu dilihat memenuhi cita rasa kaum hawa terutama yang berkerjaya untuk cepat bersiap ke tempat kerja dan sebagainya.
Pelbagai pilihan jenama produk pengeras tudung yang terdapat di pasaran, dan masing-masing mempunyai kelebihannya tersendiri.
Harganya pula mampu dimiliki setiap orang dan produk itu boleh digunakan berbulan-bulan, bergantung kepada kekerapan penggunaan.
Bentuk tudung lebih cantik
Pembantu tadbir, Zilawati Mat Noh berkata, ketika diperkenalkan dengan produk pengeras tudung lebih dua tahun lalu, dia mengakui produk itu membantunya membentuk tudung dengan lebih cantik dan mudah.
"Pada masa itu, saya masih lagi pakai tudung 'awning' keras. Ia mudah renyuk jika kita basuh guna mesin basuh, namun apabila digosok, kesan renyuk itu masih jelas dilihat. Kini, saya gunakan produk ini untuk tudung bawal dan selendang, bagi membentuk tudung dengan lebih cantik.
"Sebelum ini, saya pernah menggunakan pelbagai jenama produk pengeras tudung, namun pilihan saya adalah Mrs Iron kerana ia tidak meninggalkan bau hapak dan pada masa sama, tudung kekal cantik terbentuk dari pagi hinggalah pulang dari tempat kerja," katanya.
Melihat kepada keberkesanan produk dan permintaan tinggi di pasaran, ia turut mendorong Zilawati menjual produk pengeras tudung tersebut lebih dua tahun lalu.
Bagi suri rumah, Maria Ismail, dia mula mengenali produk pengeras tudung sejak tiga tahun lalu selepas melihat iklan di Facebook.
"Bila saya dapat produk pengeras tudung itu, saya terus pakai dan hasilnya begitu mengagumkan kerana ia memudahkan saya membentuk tudung.
Maria berkata, penggunaan produk pengeras tudung juga amat mudah iaitu dengan menyembur pada permukaan tudung yang hendak dibentuk sebelum menggosoknya.
"Hasilnya, tudung boleh terus dipakai dan dibentuk dengan mudah serta kekal cantik sehingga petang," katanya.
Permintaan tinggi
Hampir tiga tahun di pasaran, produk pengeras tudung jenama Mrs Iron semakin dikenali ramai dan kini dijual purata antara 1,500 hingga 2,000 botol dalam tempoh seminggu.
Pengasas Mrs Iron yang juga Pengurus Jatek Enterprise, Nurfitriah Azman berkata, bermula dengan 10 botol terjual seminggu pada awal perniagaan, permintaan semakin meningkat sehingga kini.
Nurfitriah menjual produk pengeras tudung bagi membantu memudahkan golongan wanita berhijab untuk membentuk tudung dengan cantik, sekali gus menjimatkan masa bersiap.
Beliau berkata, Mrs Iron keluaran Jatek Enterprise berbeza dengan produk pengeras tudung lain di pasaran kerana ia bebas bahan kimia dan sesuai digunakan untuk fabrik serta tidak merosakkan tudung.
"Mrs Iron merupakan pengeras tudung buatan sendiri (homemade) dan ia sangat mesra pengguna serta kanak-kanak. Ia dirumus daripada kanji dan air. Jika terkena kulit, ia tidak mendatangkan kesan membahayakan.
"Selain untuk kegunaan tudung, Mrs Iron juga memudahkan kerja menggosok pakaian," katanya yang menjual menerusi dropship, ejen dan wakil jualan di seluruh negara.
Mrs Iron yang mengandungi isian 450 mililiter (ml) itu mampu bertahan untuk kegunaan antara satu dan tiga bulan, yang dijual pada harga RM20 sebotol, tidak termasuk kos penghantaran.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Neelofar Hijab buka kedai di London
NH Prima International Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan jualannya di luar negara kepada RM15 juta pada tahun depan, dengan sokongan pembukaan kedai tidak lama lagi di London.
Pengarahnya, Noor Neelofa Mohd Noor, yang juga seorang pelakon dan pengacara TV berkata, syarikat meraih purata jualan di luar negara sebanyak RM5 juta melalui platform dalam taliannya.
"Saya harap kedai baharu di Chelsea, London, yang akan memulakan perniagaan pada bulan depan, akan meningkatkan lagi jualan kami di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengenai 'CelebExports' di sini hari ini.
Pada masa ini, koleksi tudung Naelofar Hijab dijual dalam talian ke lebih 37 negara termasuk Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Brunei.
Noor Neelofa, atau lebih dikenali sebagai Neelofa, berkata pada tahun lepas, syarikat mencatat jualan sebanyak RM50 juta dengan pasaran antarabangsa menyumbang 10 peratus daripada perolehannya.
Diperkenalkan pada September 2014, koleksi tudung sedia dipakai Naelofar Hijab semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Noor Neelofa berkata, Matrade memainkan peranan penting dalam perniagaannya termasuk penubuhan kedai pertama syarikat itu di luar Malaysia. - Bernama
Sumber: www.sinarharian.com.my
Fareeda Scarf Terus Kuasai Bisnes Hijab
KERANCAKKAN trend dan fesyen hijab pada masa kini membuatkan golongan hijabi rambang mata untuk memilih label yang sesuai dengan personaliti diri mereka.
Tidak dapat dinafikan, ledakan pelbagai rekaan fesyen hijab terus menjadi-jadi seakan-akan tiada berpenghujung. Mana tidaknya, trend fesyen hijab tidak pernah ‘jemu’ menghantui wanita dengan pelbagai variasi dan rekaan terkini.
Siapa yang tidak kenal dengan label Fareeda. Kehadiran tudung Fareeda di pentas fesyen hijab tanah air seakan-akan menjadi fenomena luar biasa yang melanda pencinta-pencinta hijab.
Andai ada sahaja koleksi baharu yang keluar di pasaran pasti pengikut setianya akan berpusu-pusu untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan koleksi tudung yang dipasarkan. Begitulah kuatnya mantera dan aura label Fareeda. Sentiasa menjadi igauan para wanita hijabi.
Populariti tudung Fareeda sejak ditubuhkan sekitar 11 tahun lalu berjaya meletakkan jenama ini sebaris dengan nama pereka-pereka fesyen terkemuka.
Hanya material terbaik digunakan untuk menghasilkan tudung Fareeda. Malah rekaan dan pola warna yang selesa, cantik serta mudah digayakan menjadi antara signature tudung Fareeda. Bertepatan dengan tagline ‘Nyata Jelita’, Fareeda hanya menyajikan produk-produk yang berkualiti tinggi setanding dengan harga yang ditawarkan.
Menyedari situasi persaingan dalam arena bisnes fesyen yang amat sengit, Mawar tidak ketinggalan untuk memantapkan produk syarikatnya demi memperkasakan kestabilan jualan.
“Sejak awal pembabitan Fareeda dalam industri fesyen hijab, boleh dilihat dan dikira dengan jari sahaja bilangan pengusaha fesyen hijab.
Namun kini, industri fesyen hijab berkembang dengan begitu pesat sekali. Alhamdulillah Fareeda kekal dengan identiti rekaan yang tersendiri.
“Setakat ini Fareeda sudah mempunyai sembilan buah cawangan manakala ejen pula seramai 300 orang. Inspirasi untuk setiap rekaan kerudung Fareeda lebih kepada gaya dan fesyen dari Timur Tengah yang terkenal dengan penampilan elegan, mewah dan eksklusif,” ungkap Mawar memulakan bual bicaranya.
Promosi Kerudung Fareeda
Jika dilihat daripada segi penampilan, Mawar cukup selesa memperagakan sendiri setiap koleksi terbaharu kerudung Fareeda untuk tatapan pencinta kerudung Fareeda. Ditanya mungkinkah beliau menolak untuk menggayakan koleksi hijab selain jenama Fareeda, ini jawapan padu daripada Mawar.
“Bagi saya sebagai anak kepada pengasas dan juga duta kepada Fareeda, semestinya saya menjadikan diri sendiri sebagai ikon kepada peminat-peminat Fareeda di luar sana.
Lebih-lebih lagi dalam industri fesyen, ikon yang menjadi ikutan kepada semua adalah sangat penting untuk mengukuhkan penjenamaan Fareeda.
“Atas alasan inilah maka saya memilih untuk menggayakan koleksi kerudung Fareeda ke mana sahaja kerana ia merupakan antara pelan pemasaran secara tidak langsung. Selain itu, koleksi kami juga sering diiklankan menerusi media sosial, media elektronik dan juga media cetak utama,” jelas Mawar jujur.
Setakat ini ujar Mawar, ibu beliau, Faridah Zakaria yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Fareeda Global Resources Sdn Bhd tidak pernah kekeringan idea untuk mereka fesyen kerudung Fareeda. Malah ada sahaja idea atau koleksi baharu yang dihasilkannya.
Bahkan ada rekaan yang terpaksa ditangguh dahulu pengeluarannya untuk memberi ruang kepada koleksi yang baharu diperkenalkan di pasaran.
“Syukur kerana setiap koleksi kerudung Fareeda sentiasa menjadi buruan pencinta kerudung Fareeda. Dalam masa yang sama, kami turut membuka pintu rezeki kepada usahawan-usahawan yang ingin berkecimpung dalam dunia bisnes.
"Salah satu agenda utama Fareeda adalah untuk membantu masyarakat di luar sana menambahkan pendapatan. Jika Fareeda menyumbang ke arah kebaikan ekonomi mereka, saya amat gembira.
“Tidak dapat dinafikan pada masa kini lebih ramai wanita memakai hijab. Alhamdulillah ia juga merupakan satu berita baik untuk bisnes industri hijab. Pastinya ia menjadikan bisnes hijab semakin berkembang. Fareeda akan terus-menerus memberikan rekaan dan fesyen hijab terkini demi memenuhi kepelbagaian cita rasa dan minat para pemakai hijab,” ungkap Mawar lagi.
Adat dalam dunia bisnes pastinya tidak dapat lari daripada sengatan kontroversi yang melanda. Seperti juga usahawan-usahawan yang lain, Mawar juga tidak pernah terkecuali menghadapi situasi sebegitu.
“Setiap kontroversi yang diterima, saya hadapi dengan hati dan minda yang terbuka. Bagi saya kontroversi sebegitu ada baik dan buruknya. Jika dipandang dari sudut kebaikan, pastinya Fareeda mendapat penjenamaan secara percuma memandangkan ramai yang bercakap atau berkongsi di Facebook.
“Kontroversi itu akan hilang begitu sahaja apabila mereka yang terlibat sudah ‘penat’ untuk memperkatakan sesuatu isu yang telah ditimbulkan. Walau bagaimanapun, jika kontroversi itu terlalu menghina sehingga menjatuhkan jenama, pihak syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” ujar Mawar tegas.
Koleksi Kerudung Lebaran
Menyentuh tentang koleksi kerudung Fareeda sempena lebaran ini, Fareeda hadir dengan koleksi terkini yang lebih mantap. Warna dan corak yang dipertaruhkan juga mengikut trend terkini.
“Untuk koleksi Aidilfitri, Fareeda menampilkan dua design koleksi mewah terbaharu iaitu Sara Marissa Sequin dan Sara Sofea. Sara Marissa Sequin hadir dengan anak tudung sequin untuk gaya mewah dan elegan.
"Sara Sofea pula diitampilkan bersama dengan set cincin dan gelang bagi mereka yang gemarkan perincian mewah. Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan bermula daripada RM80 sehingga RM145 sahaja.
“Keistimewaan tudung Fareeda untuk koleksi lebaran ini terletak kepada keunikan rekaan yang direka cipta sendiri oleh ibu saya. Perincian juga amatlah dititikberatkan untuk memastikan pelangan kami beraya dengan gaya mewah dari Fareeda.
“Koleksi lebaran kali ini juga adalah daripada edisi terhad yang mana setiap satu warna kerudung mempunyai tidak lebih daripada 100 helai. Ini adalah untuk memastikan nilai eksklusif yang ditekankan oleh Fareeda selama ini dinikmati oleh pelangan. Bertepatan dengan tema Arabian Look Fever, koleksi lebaran Fareeda memberikan look persis wanita Arab kepada si pemakai,” jelas Mawar.
Masih menekankan corak abstrak, harimau bintang dan polkadot, ia merupakan corak atau rekaan yang evergreen malah ia sering menjadi buruan peminat-peminat kerudung Fareeda.
Warna terkini yang menjadi trend untuk tahun 2017 ialah warna pastel dan warna-warna terang dengan rekaan ringkas tetapi mewah.
“Fabrik yang digunakan untuk koleksi tudung lebaran Fareeda masih lagi mengekalkan fabrik utama iaitu sifon. Cuma keistimewaan kali ini terletak pada koleksi mewah sequin yang diterapkan untuk menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.
“Sambutan yang diterima di kalangan peminat kerudung Fareeda ternyata memuaskan. Setiap kali koleksi lebaran dikeluarkan, pastinya laris dan habis terjual. Peminat seakan-akan berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama menggayakan koleksi terbaharu kami. Mereka sanggup datang awal ke kilang Fareeda Group untuk mendapatkan koleksi terbaharu.
“PM atau komen di Facebook mahupunTwitter dan Whatsapp juga hampir tidak terbalas setiap hari. Tidak dapat dinafikan strategi promosi kami dengan menekankan nilai eksklusif koleksi lebaran Fareeda yang terhad tanpa ulangan menjadikan penampilan pemakai lain daripada yang lain.
“Malah perincian setiap rekaan yang ditawarkan juga amat ditekankan demi memastikan koleksi lebaran kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan,” tutur Mawar yang terharu dengan sokongan para pelanggannya.
Persiapan Lebaran
Bercerita tentang persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, akui Mawar, beliau dan suaminya, Fizo Omar membuat persiapan secara bersederhana sahaja. Namun yang menjadi keutamaan pasangan bahagia ini daripada segi pemakaian busana yang sedondon.
“Jika tiada aral melintang, kami suami isteri pastinya akan beraya di Kelantan dan Pulau Pinang. Aktiviti di pagi raya seperti biasa, selepas solat sunat hari raya, kami akan berkumpul dengan sanak saudara. Bahkan kami juga akan bercuti selama seminggu sempena sambutan Aidilfitri nanti,” ujar Mawar.
Lebaran kali ini juga agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini buat Mawar dan juga Fizo. Mana tidaknya, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga akhirnya Mawar disahkan hamil anak sulung.
Sesungguhnya ia merupakan berita yang amat dinanti-nantikan oleh pasangan merpati dua sejoli ini.
“Semestinya kami sangat gembira dan bersyukur kerana penantian selama empat tahun dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Alhamdulillah buat masa ini tiada alahan teruk yang saya alami. Memandangkan keadaan saya yang berbadan dua, percutian kami ke mana-mana ditangguhkan dahulu buat sementara waktu.
“Walau bagaimanapun saya tidak akan memperlahankan aktiviti berbisnes selepas mengetahui diri sudah berbadan dua. Malah berita gembira ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk berusaha demi masa depan kami sekeluarga,” akhiri Mawar yang tidak kisah tentang jantina anak sulung yang bakal dilahirkannya nanti.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Naelofar Hijab kuasai 38 negara
MENERUSI daya keusahawanan dan pemikiran luar biasa, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa berjaya menempa pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Neelofa yang juga Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd tidak gentar menghadapi kegagalan, malahan terus melangkah sehingga meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri dan memberi inspirasi kepada anak muda di luar sana untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Neelofa, 28, bukan sahaja terkenal dengan fenomena hijab melalui jenamanya, Naelofar Hijab, beliau sendiri memiliki beberapa rangkaian perniagaan yang melibatkan fesyen dan produk kecantikan.
"Saya mahu fokus kepada perniagaan yang saya jalankan. Saya juga seperti orang lain tidak terlepas berdepan pelbagai cabaran dalam perniagaan, apa yang penting saya fokus kepada perniagaan tudung yang dijalankan sejak 2014.
"Jatuh dan bangun serta salah percaturan dalam menjalankan perniagaan pada dua tahun awal adalah proses pembelajaran. Kami mengambil pengajaran daripada kesilapan tersebut dan melakukan penambahbaikan, tahun ketiga, saya mengembangkan perniagaan tersebut dan alhamdulillah melihat pertumbuhan perniagaan yang dicapai," katanya.
Beliau berkata, sekarang perniagaannya bukan sahaja bertapak di Malaysia, malahan berkembang pesat di 38 negara antaranya Perancis, Jepun, United Kingdom, Eropah, Afrika, Emiriyah Arab Bersatu dan Norway.
Setakat ini, Neelofa adalah pemilik kepada beberapa rangkaian perniagaan dan Naelofar Hijab merupakan perniagaan utama yang menyumbang kepada keuntungan syarikat.
Keluarga dorong minat berniaga
Neelofa mengakui, latar belakang keluarga yang menjalankan perniagaan mendorongnya untuk berusaha dan bekerja keras menjadi usahawan yang berjaya.
"Sejak kecil, saya mengikuti emak yang juga berniaga. Saya juga boleh buat perkara yang sama. Kini kami berada di bawah satu bumbung dan bersama-sama memajukan perniagaan.
"Idea yang kreatif menghasilkan pelbagai rekaan tudung yang memenuhi cita rasa masyarakat tempatan dan antarabangsa memacu pertumbuhan perniagaan ini. Saya juga seperti orang lain yang tidak terlepas daripada menghadapi cabaran," katanya.
Menurutnya, lumrah dalam perniagaan, ada manusia yang suka menjatuhkan sesama sendiri. Akui sedih dan kecewa dengan situasi itu, beliau bagaimanapun tetap cekal menghadapinya dan terus berusaha untuk terus maju.
"Apabila mempunyai keikhlasan dan tidak putus semangat mendepani cabaran itu, saya hanya memandang ke hadapan. Biarlah mereka di belakang dan saya akan maju ke depan," katanya.
Hasratnya dalam menyuntik inspirasi kepada wanita untuk jadi lebih yakin dan berdikari terlaksana apabila Naelofar Hijab berkembang dengan memiliki 700 pengedar di seluruh dunia.
"Peluang itu secara tidak langsung menjadikan lebih bersemangat kepada pengedar di dalam menyediakan keperluan dan pendapatan yang stabil buat keluarga mereka," katanya.
Cetus fenomena hijab
Sebut sahaja Naelofar Hijab, pastinya kita terbayangkan hijab yang mudah dipakai, tidak memerlukan pin, malahan mudah dibentuk serta membantu pemakainya tampil menawan dan anggun.
Neelofa, bukan sahaja terkenal sebagai seorang selebriti, malahan beliau juga adalah ikon fesyen yang berjaya mencetuskan fenomena hijab sehingga berjaya melahirkan ramai usahawan tudung dan menempatkan dirinya di pentas antarabangsa.
"Pada masa sama, saya ingin perniagaan ini terus berkembang dan kukuh sehingga berjaya menembus pasaran antarabangsa. Saya yakin dengan sokongan pelbagai pihak, Naelofar Hijab akan terus berkembang sebagai jenama yang menjadi fenomena di dalam dan luar negara," katanya.
Baru-baru ini, Neelofa juga mengharumkan nama negara apabila diberi penghormatan sebagai tetamu penting dalam majlis Swarovski Crystal Wonderland Party sempena Minggu Fesyen Milan.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Vivy Yusof takluki bisnes fesyen
Seperti wanita lain, minat beliau pada fesyen tidak pernah luput. Apa sahaja yang cantik tentu sahaja akan disukainya. Malah Vivy mengambil kesempatan tersebut dengan menjadikan minatnya itu sebagai sumber pendapatan yang lumayan. Vivy menjadi perintis perniagaan butik atas talian yang pertama di Malaysia dengan menghimpunkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari London School of Economics (LSE), Vivy rancak mengatur strategi perniagaan. Mula dikenali dengan FashionValet diikuti dengan label hijab Duck Scarves, Vivy terus mencipta nama melalui rancangan realitinya sendiri bertajuk “Love, Vivy”. Ia sebagai senjata ampuh untuk terus mengukuhkan pengaruh dalam dunia bisnes milik wanita kacukan Melayu-Cina ini.
CABAR DIRI
Kecanduan Vivy Yusof dalam bidang perniagaan menzahirkan bahawa beliau gemar mencabar keupayaan diri, selain sentiasa mencari peluang-peluang baharu dalam usaha untuk memajukan perniagaannya.
“Alhamdulillah kini FashionValet sudah pun mempunyai lebih 150 orang tenaga pekerja. Buat masa ini, kami memiliki lebih kurang 500 jenama bernaung di bawah payung FashionValet. Jika dahulunya, kami bermula dengan berbekalkan hanya tiga orang pekerja dengan 10 jenama tempatan sahaja, namun kini semakin ramai yang telah menanamkan kepercayaan untuk bernaung di bawah FashionValet.
“Boleh dikatakan produk-produk kami bersifat eksklusif kerana melibatkan nama-nama besar pereka fesyen di samping berkualiti tinggi. Demi memastikan FashionValet sentiasa segar dengan idea dan projek menarik, pihaknya turut mengadakan kolaborasi bersama barisan pereka fesyen,” ungkap Pengarah Urusan FashionValet ini.
Bermula dengan blog proudduck.com, Vivy mencipta pengikutnya yang bertambah dari sehari ke sehari. Melalui blognya juga Vivy banyak berkongsi tentang kisah dan prinsip hidup bersama pembaca.
Bukan itu sahaja, sisi peribadi yang ada pada diri Vivy menjadi satu kelebihan selain melontarkan aura positif. Ledakan media sosial yang menjadi medium utama masyarakat moden hari ini digunakan sepenuhnya untuk mencari peluang pemasaran yang lebih kukuh. Buktinya, pengikut di Instagram Vivy kini sudah mencecah angka lebih 800,000 pengikut.
“Saya memang sukakan persaingan sejak dari kecil lagi. Malah saya akan berjuang untuk menjadi nombor satu di dalam kelas mahupun ketika menduduki peperiksaan. FashionValet merupakan senior dalam perniagaan ini kerana ia laman web butik pertama yang menghimpunkan pelbagai jenama pakaian yang dilancarkan di Malaysia pada tahun 2010.
"Kami memiliki kelebihan berbanding laman web lain yang mengusahakan bidang yang sama memandangkan FashionValet telah bertapak dan mendahului pasaran sebelum para pesaing muncul. FashionValet juga berbeza dari butik laman web lain kerana kami mementingkan kualiti jenama, malah memilih sendiri produk yang harus ada dalam laman web,” ungkap Vivy panjang lebar.
JIWA KENTAL
Tambah Vivy, bukan sembarangan jenama dan produk yang boleh dibawa masuk ke dalam perniagaan ini. Vivy percaya usaha sama beliau dan suaminya, Fadzarudin Anuar, 29 tahun yang masing-masing memiliki kelebihan di dalam industri fesyen, e-perdagangan dan teknologi mampu memantapkan pengurusan FashionValet.
Bagaimanakah pula Vivy boleh memberi inspirasi kepada masyarakat luar untuk mencapai kejayaan? Ini jawapan Vivy.
“Hampir setiap hari saya menerima jemputan untuk memberi ceramah pengurusan tentang kerjaya, kehidupan dan keibubapaan kepada orang ramai. Saya dapat lihat betapa sukarnya bagi seorang wanita untuk melakukan semua pekerjaan dalam satu-satu masa,” jelas Vivy.
Tidak padan dengan bentuk fizikalnya yang kecil molek, jiwa wanitanya ini nyata kental menguruskan dan meluaskan perniagaannya bersama suami tercinta. Fadzarudin Anuar bukan sahaja imamnya tetapi turut menjadi individu yang sama-sama berganding bahu membangunkan empayar perniagaan sehingga mereka mampu berdiri kukuh hingga ke tahap sekarang.
“Sebenarnya antara saya dan suami, kami sama-sama memerlukan antara satu sama lain. Pendek kata, kami berdua saling melengkapi. Sama ada saya mahupun suami, kami punya kekuatan masing-masing. Kelebihan yang ada kami gunakan sebaik mungkin untuk membangunkan perniagaan.
“Kami memilih fesyen kerana kebanyakan pengikut blog saya rata-ratanya golongan wanita yang cekap dalam bidang teknologi berusia dalam lingkungan 20 ke 40 tahun. Inilah golongan sasaran kami yang sangat sesuai untuk industri fesyen,” kata Vivy lagi.
Diangkat sebagai ikon fesyen hijab, Vivy sempat berkongsi tip fesyen untuk wanita berhijab. Ujarnya, sebagai wanita, amat penting untuk menjaga penampilan diri bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman. Kebersihan juga perlu menjadi keutamaan, jika tidak ia boleh menjejaskan penampilan diri. Ketika berfesyen, jangan terlalu berlebihan kerana minimalis itu adalah lebih baik.
KEHIDUPAN PERIBADI
Fitrah seorang isteri dan ibu, tentunya tidak dapat lari daripada tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Ibu kepada dua orang cahaya mata, Daniel, 4 tahun dan Mariam, 3 tahun ini bijak mengagihkan masa di antara kerjaya dan juga menguruskan keluarga. Sebagai seorang isteri dan juga ibu, Vivy perlu sentiasa bergerak pantas menguruskan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Tiada yang mustahil buat wanita bernama Vivy Yusof.
“Saya bersyukur kerana kedua-dua famili saya mahupun mentua memberikan sokongan terhadap kerjaya dalam dunia perniagaan. Pendek kata, keluarga saya merupakan ‘sistem sokongan’ yang banyak membantu saya untuk memajukan perniagaan.
Sebenarnya secara personal, kejayaan yang saya kecapi hari ini banyak dibantu oleh ahli keluarga yang tidak pernah lokek untuk menghulurkan pertolongan dan sesungguhnya saya amat menghargainya,” ujar Vivy.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya menguruskan perniagaan, jelas Vivy, perkara yang paling utama ialah minat dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Dengan adanya minat maka ia dapat memotivasikan diri seseorang itu untuk bekerja dengan lebih keras dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Tidak kira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi, cabaran itu tetap ada. Berkecimpung dalam dunia bisnes yang berlatarkan fesyen memerlukan saya sentiasa mengejar trend terkini kerana dunia fesyen ‘bergerak pantas’. Bukan itu sahaja, persaingan dalam bisnes ini juga sentiasa ada kerana dunia bisnes sangat kompetitif.
“Sebagai majikan pula saya perlu memastikan kebajikan pekerja saya terjaga. Bukan mudah sebenarnya menguruskan pekerja kerana ia juga memerlukan kemahiran agar para pekerja selesa bekerja dengan kita,” jelas Vivy lagi.
PERKEMBANGAN BISNES
Dalam perkembangan perniagaannya sama ada FashionValet mahupun Duck Scarves, kedua-duanya perlu diberi perhatian yang sama rata. Akui Vivy, selain memberikan tumpuan pada fizikal butik, dalam masa yang sama berurus niaga secara atas talian turut diberi keutamaan memandangkan urus niaga atas talian merupakan urus niaga popular masyarakat masa kini khususnya kaum wanita.
“Jika tiada aral melintang, FashionValet akan tampil dengan koleksi khusus untuk lelaki juga kanak-kanak. Dalam masa terdekat juga kami akan muncul dengan laman web terbaharu selain mobile apps pada pertengahan tahun 2017 ini.
“Untuk koleksi hari raya pula kami akan mula sibuk dengan kempen untuk koleksi hari raya yang melibatkan pereka-pereka terkenal tanah air. Kami juga akan melancarkan koleksi beg bagi menambahkan lagi variasi produk di FashionValet,” ungkap wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan sekuntum senyuman.
Menyentuh tentang Duck Scarves, label hijab ini sentiasa tampil dengan koleksi terkini bagi memenuhi permintaan peminat-peminat hijab jenama terkenal itu. Duck Scarves bakal muncul dengan koleksi premium yang mengetengahkan koleksi Satin Silk.
Koleksi ini boleh dibeli melalui laman web fesyen terkemuka FashionValet juga di butik.
Sempat ditanya tentang koleksi hijab edisi terhad bertemakan Bandaraya Kuala Lumpur yang habis dijual dalam masa lima minit dengan harga RM800 sehelai baru-baru ini, komen Vivy, bukan soal harga yang menjadi taruhan tetapi daripada segi kualitinya yang terjamin.
“Bagi saya, ia merupakan satu pilihan untuk mendapatkan produk dengan kualiti yang terbaik. Secara tidak langsung, ia mengangkat martabat hijab itu sendiri. Hijab yang menggunakan warna latar merah jambu pudar itu dibuat daripada kain yang berkualiti tinggi bertatahkan 200 butir batu kristal Swarovski dengan nilai yang tersendiri.
“Koleksi ini tidak akan dipasarkan semula kerana tumpuan kami kini terhadap koleksi-koleksi yang lain pula. Meskipun jauh di sudut hati saya timbul sedikit rasa terkilan kerana ramai pelanggan saya yang terlepas mendapatkan koleksi ini, namun saya menganggapnya sebagai lumrah dalam dunia perniagaan. Ia bukan tentang soal keuntungan semata-mata tetapi daripada segi nilai dan kualiti yang perlu dijaga,” akui Vivy jujur.
“Kekuatan yang ada pada label Duck Scarves itu sebenarnya menjadikan koleksi hijab jenama tersebut sentiasa menjadi rebutan para hijabista. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa setakat ini, tiada label hijab yang boleh dikategorikan urban seperti Duck Scarves.
“Saya menyasarkan pasaran yang lebih luas merangkumi peringkat antarabangsa. Maka sebab itulah saya amat teliti dalam soal kualiti dalam setiap koleksi hijab yang kami hasilkan. Dengan persembahan produk ‘kelas A’ maka peluang untuk membuka mata pelanggan dari luar negara lebih terbuka luas.
“Hanya koleksi edisi terhad ini sahaja yang dijual dengan harga RM800 sehelai kerana hijab ini menggunakan material yang berkualiti tinggi. Koleksi-koleksi yang lain boleh didapati dengan harga serendah RM130,” akhiri Vivy menutup perbualannya.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Makna Fesyen Hijab Bagi Dian Pelangi
Hari kemerdekaan Republik Indonesia, diartikan sebagai kebebasan dalam berekspresi bagi kebanyakan masyarakat Indonesia. Seperti halnya, dalam mengenakan hijab dan bidang fesyen.
Desainer muda kenamaan Indonesia, Dian Wahyu Utami, atau dikenal dengan Dian Pelangi pun mengungkapkan, menggunakan hijab sesuai dengan fesyen salah satu bentuk ekspresi. Meski, tetap menyesuaikan keyakinan pada diri masing-masing dalam menerapkannya.
"Kemerdekaan itu, ketika kita bebas berekspresi. Salah satunya dengan menggunakan hijab, itu kan ekspresi kita," kata Dian, saat ditemui di Kemang, Jakarta Selatan, Selasa 8 Agustus 2017.
Dian menambahkan, kemerdekaan merupakan wujud persatuan bangsa. Yakni, dengan terwujudnya persatuan yang erat antara warga negara Indonesia.
"Kalau memang persatuannya erat, enggak ribu-ribut seperti sekarang ini, itu salah satu definisi merdeka," ujarnya. (asp)
Sumber: www.viva.co.id
Hijab Dian Pelangi Jadi Sorotan di New York Fashion Week
Desain busana muslim dan hijab mencuri perhatian publik di pekan peragaan busana New York Fashion Week 2017.
Ini bukannya tak beralasan. Dengan beragam isu dan kebijakan pelarangan travel negara muslim yang diberlakukan Presiden AS Donald Trump beberapa waktu lalu, kehadiran desain busana muslim di panggung mode bergengsi dunia itu jelas menjadi intrik tersendiri.
Itulah yang dialami Dian Pelangi dan Vivi Zubedi, dua dari lima desainer busana Indonesia yang tampil di panggung New York Fashion Week: The First Stage, di New York, AS pada Kamis (7/9).
Laman The Guardian bahkan menyebut aksi desainer Indonesia mengusung hijab di panggung NYFW itu sebagai satu langkah berarti dan bernuansa politis, terutama karena mengusung tema indahnya keberagaman.
Dian Pelangi hadir dengan rancangan busana muslim siap pakai yang didominasi loose jackets, wide pants, dan rok panjang berpotongan lebar.
Meski mengaku inspirasi terbesarnya berasal dari buku Humans of New York karya fotografer Amerika Serikat Brandon Stanton, Dian tak melupakan jati dirinya. Sebagian besar koleksinya masih dibuat menggunakan bahan-bahan khas Indonesia, seperti batik, tenun, songket dan jumputan.
Sumber: www.cnnindonesia.com
Ini Tren Hijab 2018 Menurut Ghaida Tsurayya
Tren dan selera fesyen selalu berganti setiap tahunnya.
Bagi Anda yang peduli akan penampilan sehari-hari, penggunaan model pakaian yang digunakan pasti diperhatikan untuk menunjang penampilan.
Penggiat fesyen, Ghaida Tsurayya mengatakan trend fesyen hijab di tahun 2018 akan berbeda dengan tahun sebelumnya.
Di tahun sebelumnya, model hijab lilit dengan corak yang ramai marak digandrungi anak muda masa kini.
"Hijab trend tahun 2018 akan semakin simple dan modelnya polos," ujar Ghaida di Click Square, Jalan Naripan No 89, Selasa (19/12/2017).
Sedangkan untuk pola hijabnya, Ghaida mengatakan akan lebih mengarah ke signature.
"Pola signature adalah pola buatan tangan seperti batik tulis dan pola etnik handmade," ujarnya.
Penampilan hijab dengan pola signature akan membuat penampilan lebih kasual dan memberikan kesan imut ketika digunakan.
Setelah monochrome seperti hitam dan putih eksis di tahun 2017, tahun ini warna pastel banyak menjadi pilihan.
Untuk penampilannya, Ghaida sudah mengikuti trend hijab 2018. Hal ini terlihat dari penampilannya yang menggunakan gaun berwarna pink pastel yang dipadukan dengan hijab motif simple.
Sumber: www.jabar.tribunnews.com
Saturday, 23 December 2017
Tudung Boku pelengkap imej wanita korporat
Rata-rata pengusaha fesyen
mengambil inisiatif tersebut untuk turut serta dalam trend berkenaan
dengan memperkenalkan rangkaian produk baharu.
Ada di antara mereka yang mengusahakan
perniagaan jubah, selendang, telekung namun, produk yang paling digilai
ramai untuk dikomersialkan ialah tudung.
Maka tidak hairanlah, puluhan koleksi tudung baharu dilancarkan setiap bulan sekali gus merancakkan industri fesyen negara.
Namun demikian, kemunculan pelbagai jenama
baharu dalam segmen fesyen Muslimah sedikit sebanyak membuka peluang
persaingan hinggakan sukar mendapat tempat dalam hati golongan
fashionista.
Namun demikian, label pakaian Muslimah, Boku
tampil dengan resipi tersendiri dalam memikat hati khalayak sasaran
menerusi koleksi tudung ranggi.
Pengasas Bersama Boku, Zairina Zailani berkata, Boku tidak sedikit pun ralat melihat persaingan secara terbuka dalam industri fesyen Muslimah.
“Boku mempunyai kumpulan sasaran tersendiri dan ia tidak direka untuk kebanyakan wanita.
“Sejak awal penubuhan Boku, kami telah
menyasarkan ‘padang’ eksklusif dengan Boku ini direka untuk memenuhi
keperluan golongan wanita korporat dan berkerjaya,” ujarnya ketika
ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gaya korporat
Boku mula ditubuhkan oleh Zairina sendiri bersama Penyumbang Dana Boku, Amalina Abas sekitar awal tahun lalu.Label tersebut bernaung di bawah jenama fesyen Benua Clothing (Benua) yang terkenal dengan rekaan busana lelaki Muslim gaya jalanan versatil.
Berpegang teguh pada prinsip yang dibawa jenama Benua, Boku mengembangkan lagi ke dalam segmentasi pakaian Muslimah menerusi koleksi tudung yang diperkenalkan.
“Benua merupakan koleksi khusus untuk golongan lelaki manakala idea lahirnya Boku muncul sebagai melengkapi keperluan itu.
“Fokus kami adalah menjadi platform untuk golongan wanita menjadikan tudung Boku sebagai pakaian harian dengan gaya korporat,” ujar Zairina yang mesra dipanggil Iena.
Menariknya, walaupun baru setahun usia Boku di persada fesyen tanah air, ia telah berjaya mencuri perhatian khalayak menerusi Minggu Fesyen Malaysia 2017 di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Persembahan bertenaga yang menampilkan koleksi hijab ranggi itu turut melayakkan label Boku menerima anugerah Best Asian Showcase MercedesBenz Stylo Awards 2017 pada pertunjukan sama.
Pendorong
Siapa sangka hobi menconteng buku latihan
sekolah pada halaman belakang dengan pelbagai lakaran berdasarkan
imaginasi kanak-kanak ketika itu menjadi pendorong buat diri Iena untuk
menjadi usahawan fesyen.
Kongsinya, ketika itu dia curi-curi conteng gambar gadis sambil memakai busana dengan pelbagai rekaan menarik.
Kreativiti Iena yang dipupuk menerusi sesi
‘berangan’ itu sebenarnya sangat membantu menyuntik rasa minat dalam
dirinya sehingga kini.
Iena pernah berkecimpung dalam bidang fesyen Muslimah bersama label hijab terkemuka sejak hampir tiga tahun lalu.
Berbekalkan kepakaran, pengalaman dan minat yang
mendalam, Iena disunting oleh Pembiaya Dana Boku, Amalina untuk menjadi
rakan kongsi dan bersama-sama menerajui jenama Boku.
Namun demikian, proses melamar Iena itu bukan suatu perkara yang mudah dan tidak berjalan seperti dirancang.
Tawaran pertama Amalina ditolak kerana Iena
ketika itu merasakan dirinya belum begitu bersedia untuk menjadi tunggak
kepada sesuatu yang besar.
Biarpun tawaran itu ditolak, Amalina tidak
berputus asa sebaliknya terus menghubungi dan menawarkan semula peluang
tersebut tiga tahun kemudian.
“Setelah berbincang dan mempertimbangkan visi
serta misi kami berdua yang hampir sama ini, Iena akhirnya bersetuju
serta teruja untuk mengutarakan ideanya.
“Setiap kata sepakat yang dibuat antara kami
merupakan satu perkara yang sangat mustahak malah Iena kelihatan seronok
apabila ideanya direalisasikan.
“Ditambah pula dengan sokongan antara pekerja Boku, ia membuatkan suasana bekerja itu lebih menyeronokkan,” ujarnya.
Tema
Sehingga kini, Boku telah memperkenalkan sebanyak 12 koleksi hijab yang setiap satunya dihasilkan dengan berbeza rekaan.
Ia menampilkan hijab bercetak dengan setiap corak itu dihasilkan oleh kumpulan pereka grafik terlatih mengikut tema tertentu.
Dari segi fabrik pula, Boku mengetengahkan material krep sifon dan poliester satin.
Kedua-dua material tersebut dipilih bagi mengutamakan keselesaan golongan wanita yang memakai.
“Pemilihan material ini dititikberatkan kerana kita mahu tampilkan hijab yang memudahkan pengguna.
“Ia mudah dijaga, dibentuk malah tugas menggosoknya juga kini lebih menjimatkan masa.
“Selain corak-corak mewah, eksklusif hijab ini
terletak pada tag pingat Boku pada bucu tudung yang berbentuk bunga
emas,” kongsinya.
Masuk tahun kedua menjelang 2018 nanti, Amalina
tetap mahu memberi tumpuan kepada usaha memupuk kesedaran mengenai Boku
dalam masyarakat tempatan khususnya kumpulan korporat.
Bahkan Boku turut giat mempromosikan hijab serta uniform rasmi mengikut kehendak klien.
Celah Iena, perkembangan fesyen berkembang dengan sangat pantas berbanding perniagaan lain.
Melangkau jangka masa lima tahun lagi, Iena
menyasarkan pihaknya akan memperkenalkan konsep jualan hijab menerusi
mesin layan diri.
Katanya, konsep jualan mesin layan diri tidak
asing lagi di negara maju seperti Jepun, namun di Malaysia ia masih
suatu benda asing.
“Di Malaysia ini belum ada lagi konsep jualan produk fesyen menggunakan mesin layan diri.
“Kalau ada, sudah pasti nama Boku yang akan
membawa dan memperkenalkan konsep itu untuk pasaran tempatan,” jelasnya
menutup bicara.
Menjengah usia setahun bertapak dalam industri
fesyen di Malaysia, Boku memiliki strategi dan taktikal
tersendiri
dalam memperluaskan lagi label tersebut.
Sumber: kosmo.com.my
Kepercayaan pelanggan jadi keutamaan
MEMILIKI perniagaan dengan produk jenama sendiri pasti menjadi satu kepuasan buat sesiapa sahaja.
Begitu juga dengan pemilik butik
yang mengeluarkan hijab jenama Qa’Ma Exclusive, Rosmariati Mohamad, 39,
dan suaminya Shamsul Azra Mohd. Hussain, 39.
Bagi pasangan suami isteri ini, pengalaman
selama enam tahun berkecimpung perniagaan dalam talian membuka peluang
buat mereka mencipta jenama tudung sendiri yang kini kian mendapat
sambutan dalam kalangan wanita berhijab.
Menurut Rosmariati, jenama Qa’Ma Exclusive
lahir setahun lalu selepas dia mendapat ilham bagi menghasilkan tudung
berbentuk shawl yang menepati syariah buat kaum wanita Muslim namun
mengekalkan gaya terkini.
Katanya,
setelah enam tahun berhempas pulas menjalankan perniagaan dalam talian
dengan menjual produk jenama milik orang lain, Rosmariati dan suami
mengambil langkah berani menghasilkan tudung Qa’Ma Exclusive kerana
yakin akan pasarannya yang masih luas.
“Melalui
kajian saya, terdapat kira-kira lapan juta pengguna hijab di Malaysia.
Jadi, melahirkan tudung berbentuk shawl Qa’Ma Exclusive ini memberi satu
lagi pilihan pelbagai buat penggemar shawl di negara ini,” katanya.
Menurut
suaminya, Shamsul Azra, harga shawl Qa’Ma Exclusive yang dijual antara
RM50 ke RM150 memberi pilihan kepada penggemar shawl untuk memiliki
tudung yang diperbuat daripada material fabrik berkualiti tinggi pada
harga mampu milik.
“Koleksi Qa’Ma
Exclusive hanya menggunakan fabrik berkualiti sebahagian besarnya satin
premium yang diimport. Dengan rekaan corak terkini dan menawan hati,
penggemar shawl boleh sahaja memilikinya pada harga yang begitu
berpatutan,” katanya.
Buat permulaan,
Qa’Ma Exclusive telah mengeluarkan tujuh koleksi rekaan yang memikat
sejak 2016 dan akan menambah koleksi lebih terbaharu tahun depan.
Walaupun
baru setahun jagung berada di pentas perniagaan dalam talian, Shamsul
Azra berkata, jenama Qa’Ma Exclusive yakin persaingan sihat merancakkan
lagi dunia fesyen hijab di negara ini dan tidak gentar dengan dugaan
yang mendatang.
Dengan pembukaan cawangan
butik terbaharu di Reko Sentral, Kajang selain cawangan pertama di
Terengganu, Qa’Ma Exclusive melihat potensi lebih luas pada 2018.
“Sepanjang
2016, Qa’Ma Exclusive sudah mempunyai kira-kira 100 ejen di seluruh
negara. Untuk tahun depan, kita mahu menambah lagi kira-kira 200 ke 300
ejen bagi mengembangkan jenama Qa’Ma Exclusive di serata Malaysia,”
katanya.
Ditanya mengenai pengalaman, Shamsul Azra berkata, sudah pasti setiap perniagaan ada pahit manisnya sendiri.
Bagi
dia dan isteri, cabaran mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan
merupakan antara dugaan perlu dilaluinya sepanjang berniaga lebih-lebih
lagi setelah melahirkan jenama Qa’Ma Exclusive.
“Apa
yang penting, kita mahu memastikan pelanggan berulang terjaga.
Mendapatkan kepercayaan mereka ini adalah penting bagi kita kerana
mereka sudah kenal dan tahu produk kita,” katanya.
Bagi
penggemar hijab yang ingin mendapatkan shawl Qa’Ma Exclusive atau
menjadi ejen boleh menghubungi butik berkenaan di talian
019-3265511/019-3255511 atau melawat laman sosial Facebook Qa’Ma atau
Instragram qamahijab.
Sumber: www.utusan.com.my
Blaus feminin dan 'trendy'
Longgar, sopan, ringkas dan kemas. Jarang sekali bertemu empat ciri ini untuk sehelai blaus. Jika ada sekalipun, sudah tentu harganya mencecah ratusan ringgit.
Ada juga yang lebih murah dan nampak menepati ciri yang disebutkan. Namun apabila disarung ke tubuh, ada saja kekurangan yang dilihat. Jahitan ala kadar, kain mengecut, jarang dan paling teruk menonjolkan susuk tubuh.
Mungkin ada yang menganggap kesopanan dalam fesyen menzahirkan pakaian membosankan atau kurang menyerlah. Namun sedar ataupun tidak, semakin banyak jenama di dunia termasuk yang sudah terkenal beralih kepada pakaian lebih longgar, labuh, berkain tebal dan sopan.
Mereka memahami setiap orang mempunyai cita rasa berbeza dan majoriti gemarkan gaya sopan kerana ia bukan saja selesa, tetapi mudah disesuaikan untuk semua acara, rasmi mahupun tidak.
Sopan juga melambangkan tahap profesional seseorang dan daya tarikan wanita matang. Wanita bekerjaya misalnya amat mementingkan pakaian sopan kerana ia sesuai dengan suasana di pejabat dan luar pejabat.
Malah ibu muda kini juga semakin cenderung memilih pakaian sopan kerana selesa, mudah untuk bergerak dan paling utama menonjolkan kelembutan dalam gaya.
Jenama pakaian labuh-longgar-sopan tempatan, ByJajaKalam memperkenalkan pelbagai jenis blaus feminin dan ‘trendy’ dengan rekaan baru setiap bulan bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita bergaya mengikut keperluan serta kemampuan poket masing-masing.
Paling menarik, jenama berkenaan turut menyediakan pilihan tudung, palazo dan skirt sebagai pelengkap gaya.
Pemiliknya, Siti Hajjar Abdul Kalam berkata, idea mengeluarkan blaus datang secara spontan apabila ramai pengikut laman media sosialnya bertanyakan baju yang dipakai ketika bergambar bersama keluarga dan teman.
“Sejak itu, saya mula membuat tinjauan mengenai kehendak wanita kini dalam berpakaian, khususnya ibu muda. Saya pilih fabrik bersesuaian dengan cuaca tempatan, tidak perlu digosok dan reka blaus potongan ringkas.
“Fokus utama saya memang golongan ibu. Mereka ini biasanya sukakan pakaian ringkas dan cepat (mudah dipakai). Selain kain berkualiti, keistimewaan rekaan saya adalah pada bahagian pergelangan tangan blaus. Mereka tidak perlu membeli stoking tangan kerana ada cekak lembut yang mudah regang di pergelangan.
“Fungsi ini bukan saja mesra wuduk, malah memenuhi kriteria pemakaian wanita yang mahu tampil sopan serta memelihara aurat. Selain itu, semua blaus rekaan saya juga mempunyai zip sorok di bahagian dada.
“Ini sekali gus memudahkan golongan ibu menyusukan anak mereka dengan selesa,” katanya yang membina rakan komuniti di Facebook.
Jelas Siti Hajjar, dia sentiasa bertanya dan melakukan tinjauan membabitkan rakan komuniti kerana mahu menghasilkan blaus mengikut trend dan kesesuaian wanita kini.
“Sehingga kini, saya menghasilkan blaus menggunakan tiga jenis fabrik iaitu krep mos, lycra Korea dan kapas linen. Semua jenis fabrik ini mesra dengan cuaca di Malaysia dan tidak perlu digosok.
“Manakala bagi potongan blaus, saya lebih mengutamakan bahagian lengan dan pinggul ke bawah. Ini kerana, kebanyakan wanita kini lebih selesa mengenakan blaus yang sopan, menutup bahagian pinggul serta punggung,” katanya.
Sumber: www.hmetro.com.my
Diberikan suntikan moden
Kesukaran mendapatkan busana Muslimah terutama tudung atau selendang yang patuh syariah dan sopan mendorong Farah Fakhira Fakhrulruzi menghasilkan sendiri khimar di bawah jenama, Effira Exclusive yang ditubuhkan bersama suami, Effi Aizat Musa .
Baginya, rekaan khimar perlulah menitikberatkan ciri menutup aurat, labuh, longgar dan menggunakan kain tidak jarang. Selepas menyedari pemakaian khimar yang memenuhi ciri berkenaan, tercetus idea untuk menghasil rekaannya sendiri.
“Kebanyakan tudung di pasaran tidak begitu labuh seperti khimar dan belum ramai pereka fesyen yang menawarkan rekaan sedemikian kepada Muslimah.
Jelasnya, bagi menarik lebih ramai Muslimah mengenakan tudung labuh berkenaan, rekaannya diberikan suntikan moden namun pada masa sama masih mengekalkan konsep kesederhanaan dan patuh syariah.
Selain itu, bagi memberi kelainan pada rekaan khimar berkenaan, ia dijahit dengan dwiton iaitu warna berbeza di bahagian luar dan dalam agar pemakai boleh mengubah gaya diinginkan dalam masa berbeza.
Bagi mempelbagaikan cita rasa fesyen khimar, jenama berkenaan turut memperkenalkan tudung bawal labuh dalam koleksi terkini. Ia menggunakan fabrik aritachi sepenuhnya kerana cirinya yang lembut, ringan, beralun serta selesa digayakan mengikut cuaca di negara ini.
Dua jenis tudung bawal yang diperkenalkan iaitu ‘puzzle’ dan ‘instant’ boleh digayakan pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak seawal usia 10 tahun hingga dewasa kerana ukurannya yang tidak terlalu labuh atau pendek.
Pelbagaikan rekaan, corak dan warna
Fashion Republik Kuala Lumpur 21 (FRKL21) cukup sinonim dengan wanita muda yang gemarkan sepatu gaya moden dan selesa dengan sentuhan mewah.
Siapa tidak kenal pemiliknya, Ashhry Atan. Anak muda kelahiran Johor yang kerap membahasakan diri sebagai Kak Maneh ini cukup ramah melayan pertanyaan pengikut jenama itu di laman Instagram.
Malah, dek gelaran unik itulah pelanggannya tidak segan bertanya apa saja kekeliruan mengenai sepatu di butiknya hingga jualan kasut rekaannya laris bak pisang goreng panas.
Singgah di butik FRKL21 di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini, Ashhry sempat bercerita mengenai gaya sepatu yang akan ditampilkan sepanjang 2018 nanti.
Katanya, dia mahu terus mengekalkan tanda pengenalan jenama itu yang sinonim dengan pilihan sepatu bertumit tinggi, selesa dan berwarna-warni.
“Sepanjang tahun ini, kami boleh lihat ramai wanita tertumpu kepada sepatu jenis baji. Mungkin kerana orang sekarang sukakan fesyen potongan longgar seperti palazo dan gaun, jadi mereka pilih sepatu kami untuk dipadankan dengan gaya.
“Bagaimanapun, pada 2018, kami akan lebih fokus kepada sepatu jenis platform, baji dan yang bertumit besar serta tinggi. Sementara pilihan warna, variasi rekaan dan keselesaan menjadi bonus buat pemakai,” katanya.
BERSAING JENAMA MEWAH
Menurut sahabat baik kepada penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat ini, dia cukup senang melayan pertanyaan ramai wanita yang ingin tahu mengenai perbezaan sepatu rekaannya dengan pilihan sedia ada di pasaran.
“Kalau orang tanya apa bezanya, sudah tentulah banyak, terutama dari segi pilihan warna, material, rekaan, keselesaan dan harga. Sebagai pereka, saya suka menghasilkan kasut pelbagai warna dan ketinggian.
“Setakat ini, tinggi maksimum sepatu di butik ini antara lima hingga enam inci. Malah, saya rasa, semakin tinggi sepatu, semakin bagus. Tetapi ada pula yang bertanya, selesa ke?
“Kebiasaannya, apabila kasut rekaan siap untuk percubaan, saya akan minta pekerja butik pakai sekurang-kurangnya untuk seminggu bagi memastikan ia selesa, stabil dan memenuhi kehendak wanita. Selepas berpuas hati, barulah kita akan teruskan dengan kerja pembuatan di kilang,” katanya.
Jelas Ashhry, pelanggan yang pernah datang ke butik untuk mencuba, biasanya tahu apa kelebihan kasut yang dihasilkan. Ia bukan setakat mengikut trend semasa, tetapi menepati cita rasa golongan muda, remaja hinggalah wanita dewasa yang suka bergaya.
“Pelanggan juga datang dari pelbagai latar belakang. Ada pelajar menengah, penuntut kolej, wanita berkerjaya, artis, selebriti dan kenamaan. Mereka sukakan sepatu di sini bukan sebab unik semata-mata, tetapi selesa, tampak mewah dan harganya berpatutan.
“Ada antara wanita daripada golongan kenamaan yang datang ke sini mengadu, mereka membeli sepatu berjenama dengan ketinggian lima ke enam inci mencecah harga ribuan ringgit. Tetapi sakit (kaki dan otot) apabila dipakai untuk tempoh lama.
“Selepas mencuba beberapa rekaan sepatu di butik ini, mereka terus ‘memborong’ sakan. Malah ada antaranya yang menyarung sepatu tinggi yang saya hasilkan untuk kegunaan harian.
“Tambahan wanita sekarang memang sukakan warna dan gaya yang menonjol, jadi saya ambil kesempatan itu untuk mempelbagaikan rekaan kasut, corak dan warna,” katanya.
BENTUK WANITA YAKIN
Kalau dilihat daripada deretan sepatu dihasilkan, ada antaranya mempunyai tag jenama besi rona keemasan. Kata Ashhry, dia sengaja menonjolkan tag berkenaan untuk membezakan sepatu asli keluarannya dengan tiruan.
“Dulu, saya antara perintis yang mengeluarkan rekaan kasut pelbagai warna dan ketinggian di pasaran atas talian. Kemudian, tiba suatu masa, kasut yang saya hasilkan tular di media sosial. Sejak itu ramai yang memalsukan jenama kasut FRKL21.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya mula meletakkan tag jenama besi pada kasut. Tag ini biasanya orang letak di tudung, tetapi saya pasangkan pada kasut. Secara tidak langsung, rekaan sepatu nampak lebih mewah dan eksklusif,” katanya.
Kata Ashhry, sejak jenama itu mula diperkenalkan pada 2013, sepatu rekaannya semakin menjadi pilihan ramai selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mia Ahmad, Ayda Jebat dan Indah Ruhaila.
“Mungkin kerana usia muda, saya banyak tahu dan mudah faham kehendak orang muda kini. Saya juga berkongsi idea dengan pelanggan, bagaimana untuk mereka menggayakan sepatu dengan busana sesuai.
“Jika boleh, saya mahu mendedahkan lebih ramai wanita kepada pelbagai fesyen kasut, mengikut trend semasa. Ramai wanita yang mahu tampil bergaya seperti selebriti kesukaan mereka, tetapi tidak yakin untuk memilih sepatu bertumit tebal.
“Saya sendiri kerap memerhati wanita terutama di majlis dan kenduri. Saya lihat sepatu jenis apa menjadi pilihan mereka dan ciri yang membolehkan wanita selesa,” katanya yang sudah membeli trak untuk jelajah FRKL21 di seluruh negara mulai Februari depan.
Siri jelajah itu dijangka bermula di utara selama empat hari untuk memberi peluang kepada lebih ramai wanita mencuba sendiri sepatu idaman mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli.
TIP MEMILIKI KASUT TINGGI
1. Anda perlu memilih saiz tepat dan potongan kasut yang selesa untuk mengelak sakit kaki terutama bagi yang banyak berjalan.
2. Pilih material dalam kasut yang lembut untuk keselesaan jangka panjang
3. Jangan simpan kasut di dalam kereta. Bahang panas ketika kereta di bawah terik matahari boleh mencairkan gam, sekali gus merosakkan sepatu dan menyebabkan gamnya lekang.
4. Bersihkan sepatu baldu menggunakan berus lembut.
5. Sebaiknya, sepatu jenis kulit PU dicuci menggunakan minyak bersesuaian.
6. Sekiranya anda berbadan besar, disarankan memilih sepatu bertumit dempak dan lebar untuk menyokong keseimbangan tubuh.
7. Bagi wanita yang baru hendak mencuba sepatu bertumit, seeloknya mula dengan ketinggian sekitar tiga ke empat inci.
8. Elakkan berjalan di permukaan tidak rata.
9. Pastikan anda mahir menggunakan sepatu bertumit sebelum menyarungnya ke mana-mana majlis. Jika membeli kasut baru, sebaiknya ‘mesrakan’ kaki dengan kasut berkenaan terlebih dulu.
10. Usah menyarung kasut bertumit tinggi sekiranya anda mempunyai masalah otot atau tulang belakang. Sebaik-baiknya, dapatkan nasihat pakar.
Sumber: www1.hmetro.com.my
Definisi perasaan cinta
Meskipun rekaan baru tudung dan selendang kerap muncul di pasaran seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan, namun hijab bercorak eksklusif dengan elemen mewah tetap menjadi pilihan utama Muslimah yang mementingkan gaya.
Peka dengan senario itu, pengeluar tudung jenama Veena Hijab kini menampilkan koleksi selendang premium dengan rekaan eksklusif dan unik, menggunakan cetakan digital, bertemakan Cinta Pandang Pertama.
Malah, beliau sendiri mengakui sentiasa tertarik kepada fesyen unik dan berbeza untuk digayakan. Dari situ terbitnya ilham untuk Veena menghasilkan rekaan tersendiri, khusus buat wanita moden yang berhijab.
SUTERA MEWAH
Melihat sendiri hamparan koleksi Veena baru-baru ini, wanita itu cukup teruja memperkenalkan selendang cetakan digital yang kini mencipta populariti dalam kalangan pengikut fesyen semasa.
Menggunakan fabrik sutera satin, Veena berkata, koleksi selendang panjang itu adalah gambaran perasaan cinta yang tersemat indah dalam hatinya dan mahu dikongsi dengan semua wanita.
“Bunga mendefinisikan perasaan cinta, emosi dan kasih sayang. Ia media paling tepat untuk kita melahirkan rasa cinta dan kasih kepada insan tersayang.
“Lambang cinta itu diungkapkan kembali menerusi lakaran dan karya dalam rekaan corak selendang. Selain perasaan cinta, bunga juga menterjemahkan erti kemanisan, kekuatan dan kepercayaan. Semua itu ada dalam koleksi kali ini,” katanya yang turut mencipta nama sebagai pereka hijab popular di Brunei.
Berkenaan fabrik, jelas Veena, dia sengaja memilih sutera satin kerana selesa dipakai untuk tempoh lama, sejuk dan lembut. Ia juga mudah disuai padan dengan busana polos untuk ke majlis atau bersantai bersama keluarga.
“Selendang sepanjang dua meter ini tampak mewah dengan kemasan cetakan digital. Ia juga mempunyai kemasan tepi bermotifkan abstrak potongan laser bagi menambahkan lagi pesona kepada pemakai.
“Apabila menggunakan kemasan potongan laser, bermakna tiada jahitan mesin digunakan. Secara tidak langsung, selendang ini nampak lebih kemas dengan sentuhan mewah, elegan dan berkualiti tinggi. Paling utama, ia menambah keunikan dan ciri eksklusif yang ada pada setiap helaian yang kita hasilkan,” katanya.
Koleksi ini didatangkan dalam lima warna pastel dan satu warna hitam (bold). Antaranya, Bamboo Leaves dengan warna asas putih gading bermotifkan daun pokok buluh dan kipas palas kehijauan.
Pemilihan warna lembut seperti krim pada koleksi Bloomy Bouquet, kelabu untuk koleksi Frosty Bloom dan biru lembut pada Garden Valley pula menyerlahkan lagi motif bunga, menjadikan ia nampak lebih menonjol dan hidup.
Kata Veena, kejayaan mengetengahkan rekaan terkini dan menempa nama di pentas fesyen antarabangsa sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia baru-baru ini, turut memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan rekaan selendang bersesuaian dengan tema minggu fesyen itu, ‘Love The Nature, Love The World’.
Sumber: www.hmetro.com.my
Tudung mudah bentuk
Selepas kemuncak populariti selendang pelbagai gaya, tudung ‘halfmoon’ dan bawal, ramai wanita kini kembali kepada keunikan tudung Turki yang pernah popular satu masa dulu.
Tudung empat segi kini menjadi antara carian popular kerana keunikan corak, keselesaan fabrik dan ikutan trend semasa. Tudung jenis ini bukan setakat ringkas dan mudah dipakai, malah memenuhi kriteria menutup aurat bagi kebanyakan wanita Muslimah.
Menurut pemiliknya, Sharifah Fuzainy Syed Othman, tudung empat segi dengan ukuran yang lebih besar itu memudahkan wanita bergaya mengikut syariat Islam. Ia juga boleh dipelbagai gaya mengikut kreativiti pemakai, sesuai dengan meningkatnya populariti cincin tudung.
“Keistimewaan tudung ini pada kualiti materialnya. Antara fabrik yang digunakan adalah sutera rayon, kapas dan viskos, menjadikan setiap helaian tudung sangat selesa dan sejuk dipakai.
“Sekalipun fabrik ini lembut, ringan dan kelihatan licin, namun ia mudah dibentuk, apatah lagi bagi mereka yang memakai cermin mata,” katanya.
Tidak juga perlu bimbang jika tidak memakai anak tudung kerana tudung ini tidak jarang. Paling utama, ia juga mudah digosok dan tidak cepat renyuk, umpama bonus kepada mereka yang gemarkan sesuatu yang ringkas.
“Setiap helaian tudung Turki ini membawa elemen mewah dan kontemporari. Coraknya unik, menjadikan tudung ini pilihan terbaik bagi kebanyakan wanita yang mementingkan penampilan terkini, dalam masa sama, kekal dengan konsep dan gaya Turki,” katanya.
Mempunyai bidang 50 inci, wanita Islam dapat menutup aurat dengan sempurna. Pemakai tudung ini juga masih tetap kelihatan bergaya dengan rekaan eksklusif bermotifkan floral dan ronanya yang menyerlah.
“Kami juga menyediakan tudung polos sebagai pilihan untuk wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun. Semua tudung boleh didapati pada harga RM55 hingga RM99 sehelai,” katanya.
Sumber: www.hmetro.com.my
Kuasa di sebalik sehelai tudung
Kuasa penampilan bertudung membawa 1,000 pengertian dalam hidup pelakon dan pengacara popular Neelofa.
Tidak pernah terlintas di hatinya untuk membuka tudung walaupun dilantik menjadi duta jenama antarabangsa dan dikecam bertubi-tubi oleh netizen.
Menurut Neelofa, sejak bertudung tiga tahun lalu, banyak perubahan besar berlaku dalam hidupnya sehingga membawa kejayaan demi kejayaan.
“Saya tidak pernah terlintas dan tidak akan sesekali membuka tudung. Ia membawa kepada siapa saya sekarang dan banyak perubahan besar berlaku dalam hidup.
“Apa tidaknya, ketika di New York untuk MiSK-UNPD Youth Forum baru-baru ini, saya menjadi antara speaker wanita muda bertudung dari negara yang asing bagi mereka dan alhamdulillah imej ini yang membuka mata mereka.
“Saya juga pernah bertanya kepada Swarovski, kenapa mereka mahukan saya? Mereka mengatakan saya mewakili wanita Muslim dalam usaha meluaskan promosi mereka kepada individu berbeza.
“Kemudian, di Boston pula nanti saya diminta bercakap mengenai jenama tudung saya. Jadi, ini bukti betapa besarnya kuasa sehelai tudung,” katanya pada majlis pelantikan Neelofa sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor, baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia sedih apabila penampilannya dengan gaya tudung moden ketika menghadiri Minggu Fesyen Swarovski di Milan, Itali, minggu lalu, dikritik netizen di sini.
Neelofa dikritik apabila mengenakan turban sehingga menampakkan sebahagian rambut ketika menghadiri minggu fesyen itu.
Namun, pada masa sama, penampilan Neelofa turut mendapat perhatian model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.
“Saya sedih apabila netizen yang mengecam ini langsung tidak menghargai dan melihat usaha dalam memecahkan tembok wanita berhijab di Malaysia menghadiri forum ini.
“Saya cuba mengubah streotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan. Malangnya apa yang mereka nampak semuanya negatif sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dengan penampilan saya waktu itu,” katanya.
Menurut Neelofa, dia mengagumi setiap individu yang hadir ketika menghadiri forum berkenaan.
“Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak menghukum wanita bertudung. Mereka sangat terbuka dengan penampilan saya dan menghormati saya sebagai seorang wanita Islam,” katanya.
Menurut Neelofa, dia mengakui gemar bereksperimentasi dengan gaya penampilannya supaya mengikut trend terkini.
“Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.
“Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung dan sering memberikan pelbagai alasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung.
“Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya,” katanya.
Sumber: www.hmetro.com.my
Ceritera sukses label Leeyanarahman
BERGELUMANG dalam dunia perniagaan pada usia yang masih ‘hijau’ memberi kelebihan buat Nur Liyana Abdul Rahman menimba pengalaman lantas mencanai strategi di pentas bisnes. Nur Liyana atau lebih mesra disapa Liyana cukup bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada suaminya Muhammad Hafiz Abd Hamid mengusahakan bisnes berpaksikan fesyen Muslimah.
Kolaborasi mantap antara Liyana dan suaminya membuahkan kejayaan apabila label ciptaan mereka, Leeyanarahman mampu berdiri sebaris dengan label-label fesyen Muslimah yang lain. Nyata interpretasi kerja keras Liyana dan suaminya mencipta fenomena dalam arena bisnes di sebalik kebanjiran label-label tempatan yang lain.
Saat mementaskan koleksi fesyen mereka di Kuala Lumpur Fashion Nights 2017, rekaan yang diserlahkan oleh pasangan ini ‘lari’ dari gaya tipikal busana Muslimah yang lain. Kata pepatah, jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Liyana dan Hafiz berjaya membuktikan bahawa apabila sesuatu perkara itu jika diusahakan secara bersungguh-sungguh sudah pasti ia akan disulami dengan kejayaan.
Jejak perniagaan
“Kami melangkah ke alam perniagaan pada 2012 ketika sama-sama menuntut di UiTM di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan. Semuanya bermula apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial.“Siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan hanya sebanyak RM1,500 dan kami menghasilkan 14 helai busana.
“Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Daripada keuntungan itu kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit daripada 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar,” ujar Hafiz.
Selepas menyaksikan sambutan luar biasa yang diterima daripada pelanggan, pasangan ini menghentikan rekaan tersebut kerana ingin lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Wang sebanyak RM1,500 yang digunakan sebagai modal adalah wang pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600. Alhamdulillah daripada hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri. Alhamdulillah segala kepayahan yang kami lalui selama ini membuahkan kejayaan yang cukup manis buat kami berdua,” jelas Hafiz.
Tidak dapat disangkal bahawa menjalankan bisnes ketika masih menuntut bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi. Namun kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Buktinya Liyana berjaya mencipta kejayaan yang cukup manis bersama suami tercinta.
“Memang agak susah pada mulanya namun kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh, apabila kami menjalankan perniagaan secara atas talian dengan serius, pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.
“Jika kami hendak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan, saya dan Hafiz membawa ahli keluarga masing-masing. Maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan dan mengelak fitnah. Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014, kami melangsungkan perkahwinan. Keputusan ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja.
“Sebaik melangsungkan perkahwinan, lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman,” jelas Liyana yang kini meniti usia 27 tahun, sebaya dengan suaminya.
Cabaran dan persaingan
Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Cabaran dalam dunia perniagaan bukan sedikit. Kadangkala ia sukar dijangka. Pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Ketika itu mereka masih menuntut di menara gading.“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan, kami membuat konsep pra-tempahan. Pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.
“Namun siapa sangka, banyak baju yang telah dijahit oleh kilang yang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat tidak berkualiti. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman. Hanya baju-baju yang dijahit dengan sempurna sahaja kami serahkan kepada pelanggan. Kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi. Bayangkan maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semuanya harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit.
“Kami dapat merasai kekecewaan pelanggan kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya. Wang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit. Jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar semula setiap wang pelanggan yang tidak memperoleh baju. Sampai satu tahap kami terpaksa merayu kepada pelanggan untuk menangguhkan sedikit waktu pembayaran semula disebabkan masalah ini. Namun alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikannya,” kongsi Liyana.
Peristiwa yang cukup terkesan itu banyak mengajar Liyana dan suaminya agar lebih cekal di dalam bidang perniagaan. Selepas melalui ‘pengalaman hitam’ tersebut mereka tidak lagi membuat koleksi pra-tempahan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Setiap busana yang dihasilkan, kami titik beratkan kawalan kualiti agar produk yang diberikan kepada pelanggan sempurna. Tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan, persaingan memang sentiasa ada. Kami bernasib baik kerana kami telah bermula awal dalam bidang fesyen Muslimah. Boleh dikatakan kami antara yang terawal memulakan perniagaan sebegini. Jadi apabila banyak jenama-jenama muncul kini, kami sudah berada selangkah ke hadapan daripada mereka.
“Walaupun begitu, kami tidak menganggap persaingan yang diterima sebagai perkara yang remeh. Di dalam perniagaan kita tidak boleh sesekali berasa selesa dengan kejayaan yang telah dicapai, sebaliknya ia harus menjadi pemangkin untuk kita lebih maju ke hadapan. Sebagai contoh, sekarang setiap bulan kami pasti akan menghasilkan lebih kurang empat rekaan yang berbeza bagi memberi pelanggan sesuatu pilihan yang baru.
“Tidak dinafikan bahawa kini jualan tidak semeriah dahulu, terutamanya sejak musim hari raya yang lalu. Mungkin atas faktor kemelesetan ekonomi pembeli mula lebih berhati-hati untuk berbelanja. Oleh itu kami cuba menawarkan rekaan dan produk berkualiti kepada pelanggan agar setiap pembelian mereka berbaloi. Saya juga yakin bahawa jenama Leeyanarahman kekal dengan identiti yang memiliki jiwanya sendiri. Kami tidak terlalu terikut-ikut dengan trend semasa sebaliknya lebih suka mencari gaya tersendiri yang sesuai dengan wanita,” ujar Hafiz.
Variasi produk
Selain baju dan juga tudung, label Leeyanarahman juga turut menawarkan koleksi beg yang sesuai digayakan oleh semua wanita. Apa yang pasti, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, kedua-dua pasangan ini berani menceburi stail dan juga rekaan baharu agar peminat Leeyanarahman kekal setia dengan jenama mereka. Bekerja bersama memberikan lebih peluang kepada pasangan ini untuk lebih fokus dalam merangka strategi perniagaan.“Kami memiliki kehendak yang sama di dalam kehidupan iaitu untuk berjaya meskipun kami punya personaliti yang berbeza. Hafiz lebih kepada seorang yang sangat tenang dan saya pula lebih kepada yang banyak bercakap. Pendek kata kami berdua saling melengkapi sebenarnya dan ini adalah satu perkara yang penting sebagai rakan kongsi perniagaan khususnya.
“Selain itu jika dalam bab mereka busana juga kami saling memberikan pendapat. Ini kerana saya yang bertanggungjawab menghasilkan setiap rekaan di bawah jenama Leeyanarahman. Perlu difahami bahawa apabila sudah terlibat dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh berkira dalam soal masa. Hendak berjaya bererti kita harus bersedia untuk menyiapkan kerja tidak kira waktu dan harus sentiasa bersedia menjalankan tugas.
“Kita juga harus bersikap profesional dan realistik. Penting untuk ada hitam dan putih dalam perniagaan agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan selain melindungi diri kita daripada kerugian,” akhiri Liyana menutup bicara.
5 resipi mencipta kejayaan dalam perniagaan:
1. Berusaha dengan gigih bukan sambil lewa.2. Perlu ada kekuatan mental dan fizikal.
3. Jangan mudah berputus asa.
4. Punya strategi untuk memajukan perniagaan.
5. Sentiasa bersedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Tak kecewa kerap dikritik
PENGACARA dan pelakon popular Neelofa tidak pernah terlintas untuk membuka tudung apabila dia tampil dengan gaya tudung moden ketika menghadiri Minggu Fesyen Swarovski di Milan, Itali, minggu lalu.
Neelofa berkata, dia lebih mengenali dirinya yang sebenar berbanding mendengar cakap netizen yang tidak henti-henti mengkritik penampilannya.
"Saya tidak pernah terfikir untuk membuka tudung. Dengan penampilan bertudung, ia sudah membawa banyak kejayaan dan rezeki sepanjang saya membabitkan diri dalam industri seni ini.
"Disebabkan imej ini jugalah saya dibawa mengunjungi banyak negara oleh beberapa jenama antarabangsa untuk memperkenalkan budaya dan imej wanita Muslim," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Lancome Malaysia di Banting, Selangor, hari ini.
Terdahulu, Neelofa dikritik netizen di Instagram apabila mengenakan turban sehingga menampakkan sebahagian rambut ketika menghadiri minggu fesyen itu.
Namun, dalam masa sama, penampilan Neelofa turut mendapat perhatian model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.
Menurut Neelofa, dia mengakui gemar bereksperimentasi dengan gaya penampilannya supayamengikut trend terkini.
"Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.
"Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung serta sering memberikan pelbagaialasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai gambar menampakkan bahagian lututnya ketika mengenakan jeans di lokasi sama yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, Neelofaberkata, dia tidak boleh cepat melenting apabila dikecam sebaliknya perlu memberi masa kepada umum untuk mengetahui sesuatu jenis fesyen itu.
"Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya.
"Saya tidak kecewa apabila dikritik kerana saya tahu apa yang saya pakai ini. Cuma segelintir masyarakat belum dapat menerima gaya fesyen yang dikenakan,"katanya.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Empat tip memilih tudung sempurna
PEMILIHAN tudung yang sesuai pastinya akan menampilkan wajah yang berseri dan meningkatkan keyakinan diri seorang Muslimah. Selain untuk menutup aurat, pemakaian tudung juga melambangkan keperibadian diri seorang Muslimah. Tip fesyen kali ini kami kongsikan tentang asas pemilihan tudung sempurna buat anda untuk tampil anggun dan menawan.
1. Jenis fabrik
Pastikan anda memilih jenis fabrik yang selesa seperti kain kapas, kasa, satin, sutera, lycra, viscose mahupun sifon. Walaupun tudung daripada fabrik satin tampak cantik namun ia sukar untuk digayakan oleh sesetengah individu kerana fabriknya yang licin. Berbanding fabrik kasa yang kebanyakannya digunakan pada tudung bawal, penggayaannya lebih terletak dan mudah, selain sesuai untuk kebanyakan orang.
Bagi orang muda, cuba elakkan memakai tudung dengan warna yang kusam ataupun gelap kerana warna-warna sebegini menampakkan usia anda lebih matang. Selain itu, jangan mengenakan tudung dan baju dengan warna sedondon. Untuk penampilan yang lembut tetapi ceria dan berkeyakinan tinggi, anda boleh memilih tudung polos dengan warna cerah seperti merah jambu, kuning dan biru.
3. Corak tudung
Pilih corak atau motif tudung yang samar-samar dan susunan corak yang tidak tertumpu di sekeliling wajah anda. Jika anda memilih tudung dengan border atau kaki, pastikan border tersebut tertumpu di bahagian hujung tudung, manakala bahagian kepala pula bebas daripada sebarang corak. Pilih corak tudung yang sopan dan sesuai dengan imej anda sebagai seorang Muslimah. Elakkan memakai tudung dengan unsur binatang atau bercorak buah catur.
4. Padanan tudung
Elakkan memadankan tudung bercorak bunga dengan baju yang juga bercorak bunga. Ini akan membuatkan penampilan anda kelihatan terlalu sarat dan berserabut. Padanan yang sesuai adalah dengan memilih rona tudung yang lebih lembut dan polos berbanding rona pada baju. Elakkan memilih tudung yang mempunyai rona sedondon dengan corak baju kerana ia akan membuatkan gaya anda nampak tidak menarik. Hadirkan gaya elegan dan eksklusif dalam penataan rona pastel yang memukau.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Subscribe to:
Posts (Atom)