Tuesday, 26 December 2017

Fareeda Scarf Terus Kuasai Bisnes Hijab



KERANCAKKAN trend dan fesyen hijab pada masa kini membuatkan golongan hijabi rambang mata untuk memilih label yang sesuai dengan personaliti diri mereka.

Tidak dapat dinafikan, ledakan pelbagai rekaan fesyen hijab terus menjadi-jadi seakan-akan tiada berpenghujung. Mana tidaknya, trend fesyen hijab tidak pernah ‘jemu’ menghantui wanita dengan pelbagai variasi dan rekaan terkini.

Siapa yang tidak kenal dengan label Fareeda. Kehadiran tudung Fareeda di pentas fesyen hijab tanah air seakan-akan menjadi fenomena luar biasa yang melanda pencinta-pencinta hijab.

Andai ada sahaja koleksi baharu yang keluar di pasaran pasti pengikut setianya akan berpusu-pusu untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan koleksi tudung yang dipasarkan. Begitulah kuatnya mantera dan aura label Fareeda. Sentiasa menjadi igauan para wanita hijabi.

Populariti tudung Fareeda sejak ditubuhkan sekitar 11 tahun lalu berjaya meletakkan jenama ini sebaris dengan nama pereka-pereka fesyen terkemuka.

Hanya material terbaik digunakan untuk menghasilkan tudung Fareeda. Malah rekaan dan pola warna yang selesa, cantik serta mudah digayakan menjadi antara signature tudung Fareeda. Bertepatan dengan tagline ‘Nyata Jelita’, Fareeda hanya menyajikan produk-produk yang berkualiti tinggi setanding dengan harga yang ditawarkan.

Menyedari situasi persaingan dalam arena bisnes fesyen yang amat sengit, Mawar tidak ketinggalan untuk memantapkan produk syarikatnya demi memperkasakan kestabilan jualan.

“Sejak awal pembabitan Fareeda dalam industri fesyen hijab, boleh dilihat dan dikira dengan jari sahaja bilangan pengusaha fesyen hijab.

Namun kini, industri fesyen hijab berkembang dengan begitu pesat sekali. Alhamdulillah Fareeda kekal dengan identiti rekaan yang tersendiri.

“Setakat ini Fareeda sudah mempunyai sembilan buah cawangan manakala ejen pula seramai 300 orang. Inspirasi untuk setiap rekaan kerudung Fareeda lebih kepada gaya dan fesyen dari Timur Tengah yang terkenal dengan penampilan elegan, mewah dan eksklusif,” ungkap Mawar memulakan bual bicaranya.

Promosi Kerudung Fareeda

Jika dilihat daripada segi penampilan, Mawar cukup selesa memperagakan sendiri setiap koleksi terbaharu kerudung Fareeda untuk tatapan pencinta kerudung Fareeda. Ditanya mungkinkah beliau menolak untuk menggayakan koleksi hijab selain jenama Fareeda, ini jawapan padu daripada Mawar.

“Bagi saya sebagai anak kepada pengasas dan juga duta kepada Fareeda, semestinya saya menjadikan diri sendiri sebagai ikon kepada peminat-peminat Fareeda di luar sana.

Lebih-lebih lagi dalam industri fesyen, ikon yang menjadi ikutan kepada semua adalah sangat penting untuk mengukuhkan penjenamaan Fareeda.

“Atas alasan inilah maka saya memilih untuk menggayakan koleksi kerudung Fareeda ke mana sahaja kerana ia merupakan antara pelan pemasaran secara tidak langsung. Selain itu, koleksi kami juga sering diiklankan menerusi media sosial, media elektronik dan juga media cetak utama,” jelas Mawar jujur.

Setakat ini ujar Mawar, ibu beliau, Faridah Zakaria yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Fareeda Global Resources Sdn Bhd tidak pernah kekeringan idea untuk mereka fesyen kerudung Fareeda. Malah ada sahaja idea atau koleksi baharu yang dihasilkannya.

Bahkan ada rekaan yang terpaksa ditangguh dahulu pengeluarannya untuk memberi ruang kepada koleksi yang baharu diperkenalkan di pasaran.

“Syukur kerana setiap koleksi kerudung Fareeda sentiasa menjadi buruan pencinta kerudung Fareeda. Dalam masa yang sama, kami turut membuka pintu rezeki kepada usahawan-usahawan yang ingin berkecimpung dalam dunia bisnes.

"Salah satu agenda utama Fareeda adalah untuk membantu masyarakat di luar sana menambahkan pendapatan. Jika Fareeda menyumbang ke arah kebaikan ekonomi mereka, saya amat gembira.

“Tidak dapat dinafikan pada masa kini lebih ramai wanita memakai hijab. Alhamdulillah ia juga merupakan satu berita baik untuk bisnes industri hijab. Pastinya ia menjadikan bisnes hijab semakin berkembang. Fareeda akan terus-menerus memberikan rekaan dan fesyen hijab terkini demi memenuhi kepelbagaian cita rasa dan minat para pemakai hijab,” ungkap Mawar lagi.

Adat dalam dunia bisnes pastinya tidak dapat lari daripada sengatan kontroversi yang melanda. Seperti juga usahawan-usahawan yang lain, Mawar juga tidak pernah terkecuali menghadapi situasi sebegitu.

“Setiap kontroversi yang diterima, saya hadapi dengan hati dan minda yang terbuka. Bagi saya kontroversi sebegitu ada baik dan buruknya. Jika dipandang dari sudut kebaikan, pastinya Fareeda mendapat penjenamaan secara percuma memandangkan ramai yang bercakap atau berkongsi di Facebook. 

“Kontroversi itu akan hilang begitu sahaja apabila mereka yang terlibat sudah ‘penat’ untuk memperkatakan sesuatu isu yang telah ditimbulkan. Walau bagaimanapun, jika kontroversi itu terlalu menghina sehingga menjatuhkan jenama, pihak syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” ujar Mawar tegas.

Koleksi Kerudung Lebaran

Menyentuh tentang koleksi kerudung Fareeda sempena lebaran ini, Fareeda hadir dengan koleksi terkini yang lebih mantap. Warna dan corak yang dipertaruhkan juga mengikut trend terkini.

“Untuk koleksi Aidilfitri, Fareeda menampilkan dua design koleksi mewah terbaharu iaitu Sara Marissa Sequin dan Sara Sofea. Sara Marissa Sequin hadir dengan anak tudung sequin untuk gaya mewah dan elegan.

"Sara Sofea pula diitampilkan bersama dengan set cincin dan gelang bagi mereka yang gemarkan perincian mewah. Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan bermula daripada RM80 sehingga RM145 sahaja.

“Keistimewaan tudung Fareeda untuk koleksi lebaran ini terletak kepada keunikan rekaan yang direka cipta sendiri oleh ibu saya. Perincian juga amatlah dititikberatkan untuk memastikan pelangan kami beraya dengan gaya mewah dari Fareeda.

“Koleksi lebaran kali ini juga adalah daripada edisi terhad yang mana setiap satu warna kerudung mempunyai tidak lebih daripada 100 helai. Ini adalah untuk memastikan nilai eksklusif yang ditekankan oleh Fareeda selama ini dinikmati oleh pelangan. Bertepatan dengan tema Arabian Look Fever, koleksi lebaran Fareeda memberikan look persis wanita Arab kepada si pemakai,” jelas Mawar.

Masih menekankan corak abstrak, harimau bintang dan polkadot, ia merupakan corak atau rekaan yang evergreen malah ia sering menjadi buruan peminat-peminat kerudung Fareeda.

Warna terkini yang menjadi trend untuk tahun 2017 ialah warna pastel dan warna-warna terang dengan rekaan ringkas tetapi mewah.

“Fabrik yang digunakan untuk koleksi tudung lebaran Fareeda masih lagi mengekalkan fabrik utama iaitu sifon. Cuma keistimewaan kali ini terletak pada koleksi mewah sequin yang diterapkan untuk menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

“Sambutan yang diterima di kalangan peminat kerudung Fareeda ternyata memuaskan. Setiap kali koleksi lebaran dikeluarkan, pastinya laris dan habis terjual. Peminat seakan-akan berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama menggayakan koleksi terbaharu kami. Mereka sanggup datang awal ke kilang Fareeda Group untuk mendapatkan koleksi terbaharu.

“PM atau komen di Facebook mahupunTwitter dan Whatsapp juga hampir tidak terbalas setiap hari. Tidak dapat dinafikan strategi promosi kami dengan menekankan nilai eksklusif koleksi lebaran Fareeda yang terhad tanpa ulangan menjadikan penampilan pemakai lain daripada yang lain.

“Malah perincian setiap rekaan yang ditawarkan juga amat ditekankan demi memastikan koleksi lebaran kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan,” tutur Mawar yang terharu dengan sokongan para pelanggannya.

Persiapan Lebaran

Bercerita tentang persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, akui Mawar, beliau dan suaminya, Fizo Omar membuat persiapan secara bersederhana sahaja. Namun yang menjadi keutamaan pasangan bahagia ini daripada segi pemakaian busana yang sedondon. 

“Jika tiada aral melintang, kami suami isteri pastinya akan beraya di Kelantan dan Pulau Pinang. Aktiviti di pagi raya seperti biasa, selepas solat sunat hari raya, kami akan berkumpul dengan sanak saudara. Bahkan kami juga akan bercuti selama seminggu sempena sambutan Aidilfitri nanti,” ujar Mawar.  

Lebaran kali ini juga agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini buat Mawar dan juga Fizo. Mana tidaknya, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga akhirnya Mawar disahkan hamil anak sulung.

Sesungguhnya ia merupakan berita yang amat dinanti-nantikan oleh pasangan merpati dua sejoli ini. 

“Semestinya kami sangat gembira dan bersyukur kerana penantian selama empat tahun dipermudahkan oleh ALLAH SWT. Alhamdulillah buat masa ini tiada alahan teruk yang saya alami. Memandangkan keadaan saya yang berbadan dua, percutian kami ke mana-mana ditangguhkan dahulu buat sementara waktu.

“Walau bagaimanapun saya tidak akan memperlahankan aktiviti berbisnes selepas mengetahui diri sudah berbadan dua. Malah berita gembira ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk berusaha demi masa depan kami sekeluarga,” akhiri Mawar yang tidak kisah tentang jantina anak sulung yang bakal dilahirkannya nanti.

Sumber: www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment