Seperti wanita lain, minat beliau pada fesyen tidak pernah luput. Apa sahaja yang cantik tentu sahaja akan disukainya. Malah Vivy mengambil kesempatan tersebut dengan menjadikan minatnya itu sebagai sumber pendapatan yang lumayan. Vivy menjadi perintis perniagaan butik atas talian yang pertama di Malaysia dengan menghimpunkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari London School of Economics (LSE), Vivy rancak mengatur strategi perniagaan. Mula dikenali dengan FashionValet diikuti dengan label hijab Duck Scarves, Vivy terus mencipta nama melalui rancangan realitinya sendiri bertajuk “Love, Vivy”. Ia sebagai senjata ampuh untuk terus mengukuhkan pengaruh dalam dunia bisnes milik wanita kacukan Melayu-Cina ini.
CABAR DIRI
Kecanduan Vivy Yusof dalam bidang perniagaan menzahirkan bahawa beliau gemar mencabar keupayaan diri, selain sentiasa mencari peluang-peluang baharu dalam usaha untuk memajukan perniagaannya.
“Alhamdulillah kini FashionValet sudah pun mempunyai lebih 150 orang tenaga pekerja. Buat masa ini, kami memiliki lebih kurang 500 jenama bernaung di bawah payung FashionValet. Jika dahulunya, kami bermula dengan berbekalkan hanya tiga orang pekerja dengan 10 jenama tempatan sahaja, namun kini semakin ramai yang telah menanamkan kepercayaan untuk bernaung di bawah FashionValet.
“Boleh dikatakan produk-produk kami bersifat eksklusif kerana melibatkan nama-nama besar pereka fesyen di samping berkualiti tinggi. Demi memastikan FashionValet sentiasa segar dengan idea dan projek menarik, pihaknya turut mengadakan kolaborasi bersama barisan pereka fesyen,” ungkap Pengarah Urusan FashionValet ini.
Bermula dengan blog proudduck.com, Vivy mencipta pengikutnya yang bertambah dari sehari ke sehari. Melalui blognya juga Vivy banyak berkongsi tentang kisah dan prinsip hidup bersama pembaca.
Bukan itu sahaja, sisi peribadi yang ada pada diri Vivy menjadi satu kelebihan selain melontarkan aura positif. Ledakan media sosial yang menjadi medium utama masyarakat moden hari ini digunakan sepenuhnya untuk mencari peluang pemasaran yang lebih kukuh. Buktinya, pengikut di Instagram Vivy kini sudah mencecah angka lebih 800,000 pengikut.
“Saya memang sukakan persaingan sejak dari kecil lagi. Malah saya akan berjuang untuk menjadi nombor satu di dalam kelas mahupun ketika menduduki peperiksaan. FashionValet merupakan senior dalam perniagaan ini kerana ia laman web butik pertama yang menghimpunkan pelbagai jenama pakaian yang dilancarkan di Malaysia pada tahun 2010.
"Kami memiliki kelebihan berbanding laman web lain yang mengusahakan bidang yang sama memandangkan FashionValet telah bertapak dan mendahului pasaran sebelum para pesaing muncul. FashionValet juga berbeza dari butik laman web lain kerana kami mementingkan kualiti jenama, malah memilih sendiri produk yang harus ada dalam laman web,” ungkap Vivy panjang lebar.
JIWA KENTAL
Tambah Vivy, bukan sembarangan jenama dan produk yang boleh dibawa masuk ke dalam perniagaan ini. Vivy percaya usaha sama beliau dan suaminya, Fadzarudin Anuar, 29 tahun yang masing-masing memiliki kelebihan di dalam industri fesyen, e-perdagangan dan teknologi mampu memantapkan pengurusan FashionValet.
Bagaimanakah pula Vivy boleh memberi inspirasi kepada masyarakat luar untuk mencapai kejayaan? Ini jawapan Vivy.
“Hampir setiap hari saya menerima jemputan untuk memberi ceramah pengurusan tentang kerjaya, kehidupan dan keibubapaan kepada orang ramai. Saya dapat lihat betapa sukarnya bagi seorang wanita untuk melakukan semua pekerjaan dalam satu-satu masa,” jelas Vivy.
Tidak padan dengan bentuk fizikalnya yang kecil molek, jiwa wanitanya ini nyata kental menguruskan dan meluaskan perniagaannya bersama suami tercinta. Fadzarudin Anuar bukan sahaja imamnya tetapi turut menjadi individu yang sama-sama berganding bahu membangunkan empayar perniagaan sehingga mereka mampu berdiri kukuh hingga ke tahap sekarang.
“Sebenarnya antara saya dan suami, kami sama-sama memerlukan antara satu sama lain. Pendek kata, kami berdua saling melengkapi. Sama ada saya mahupun suami, kami punya kekuatan masing-masing. Kelebihan yang ada kami gunakan sebaik mungkin untuk membangunkan perniagaan.
“Kami memilih fesyen kerana kebanyakan pengikut blog saya rata-ratanya golongan wanita yang cekap dalam bidang teknologi berusia dalam lingkungan 20 ke 40 tahun. Inilah golongan sasaran kami yang sangat sesuai untuk industri fesyen,” kata Vivy lagi.
Diangkat sebagai ikon fesyen hijab, Vivy sempat berkongsi tip fesyen untuk wanita berhijab. Ujarnya, sebagai wanita, amat penting untuk menjaga penampilan diri bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman. Kebersihan juga perlu menjadi keutamaan, jika tidak ia boleh menjejaskan penampilan diri. Ketika berfesyen, jangan terlalu berlebihan kerana minimalis itu adalah lebih baik.
KEHIDUPAN PERIBADI
Fitrah seorang isteri dan ibu, tentunya tidak dapat lari daripada tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Ibu kepada dua orang cahaya mata, Daniel, 4 tahun dan Mariam, 3 tahun ini bijak mengagihkan masa di antara kerjaya dan juga menguruskan keluarga. Sebagai seorang isteri dan juga ibu, Vivy perlu sentiasa bergerak pantas menguruskan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Tiada yang mustahil buat wanita bernama Vivy Yusof.
“Saya bersyukur kerana kedua-dua famili saya mahupun mentua memberikan sokongan terhadap kerjaya dalam dunia perniagaan. Pendek kata, keluarga saya merupakan ‘sistem sokongan’ yang banyak membantu saya untuk memajukan perniagaan.
Sebenarnya secara personal, kejayaan yang saya kecapi hari ini banyak dibantu oleh ahli keluarga yang tidak pernah lokek untuk menghulurkan pertolongan dan sesungguhnya saya amat menghargainya,” ujar Vivy.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya menguruskan perniagaan, jelas Vivy, perkara yang paling utama ialah minat dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Dengan adanya minat maka ia dapat memotivasikan diri seseorang itu untuk bekerja dengan lebih keras dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Tidak kira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi, cabaran itu tetap ada. Berkecimpung dalam dunia bisnes yang berlatarkan fesyen memerlukan saya sentiasa mengejar trend terkini kerana dunia fesyen ‘bergerak pantas’. Bukan itu sahaja, persaingan dalam bisnes ini juga sentiasa ada kerana dunia bisnes sangat kompetitif.
“Sebagai majikan pula saya perlu memastikan kebajikan pekerja saya terjaga. Bukan mudah sebenarnya menguruskan pekerja kerana ia juga memerlukan kemahiran agar para pekerja selesa bekerja dengan kita,” jelas Vivy lagi.
PERKEMBANGAN BISNES
Dalam perkembangan perniagaannya sama ada FashionValet mahupun Duck Scarves, kedua-duanya perlu diberi perhatian yang sama rata. Akui Vivy, selain memberikan tumpuan pada fizikal butik, dalam masa yang sama berurus niaga secara atas talian turut diberi keutamaan memandangkan urus niaga atas talian merupakan urus niaga popular masyarakat masa kini khususnya kaum wanita.
“Jika tiada aral melintang, FashionValet akan tampil dengan koleksi khusus untuk lelaki juga kanak-kanak. Dalam masa terdekat juga kami akan muncul dengan laman web terbaharu selain mobile apps pada pertengahan tahun 2017 ini.
“Untuk koleksi hari raya pula kami akan mula sibuk dengan kempen untuk koleksi hari raya yang melibatkan pereka-pereka terkenal tanah air. Kami juga akan melancarkan koleksi beg bagi menambahkan lagi variasi produk di FashionValet,” ungkap wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan sekuntum senyuman.
Menyentuh tentang Duck Scarves, label hijab ini sentiasa tampil dengan koleksi terkini bagi memenuhi permintaan peminat-peminat hijab jenama terkenal itu. Duck Scarves bakal muncul dengan koleksi premium yang mengetengahkan koleksi Satin Silk.
Koleksi ini boleh dibeli melalui laman web fesyen terkemuka FashionValet juga di butik.
Sempat ditanya tentang koleksi hijab edisi terhad bertemakan Bandaraya Kuala Lumpur yang habis dijual dalam masa lima minit dengan harga RM800 sehelai baru-baru ini, komen Vivy, bukan soal harga yang menjadi taruhan tetapi daripada segi kualitinya yang terjamin.
“Bagi saya, ia merupakan satu pilihan untuk mendapatkan produk dengan kualiti yang terbaik. Secara tidak langsung, ia mengangkat martabat hijab itu sendiri. Hijab yang menggunakan warna latar merah jambu pudar itu dibuat daripada kain yang berkualiti tinggi bertatahkan 200 butir batu kristal Swarovski dengan nilai yang tersendiri.
“Koleksi ini tidak akan dipasarkan semula kerana tumpuan kami kini terhadap koleksi-koleksi yang lain pula. Meskipun jauh di sudut hati saya timbul sedikit rasa terkilan kerana ramai pelanggan saya yang terlepas mendapatkan koleksi ini, namun saya menganggapnya sebagai lumrah dalam dunia perniagaan. Ia bukan tentang soal keuntungan semata-mata tetapi daripada segi nilai dan kualiti yang perlu dijaga,” akui Vivy jujur.
“Kekuatan yang ada pada label Duck Scarves itu sebenarnya menjadikan koleksi hijab jenama tersebut sentiasa menjadi rebutan para hijabista. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa setakat ini, tiada label hijab yang boleh dikategorikan urban seperti Duck Scarves.
“Saya menyasarkan pasaran yang lebih luas merangkumi peringkat antarabangsa. Maka sebab itulah saya amat teliti dalam soal kualiti dalam setiap koleksi hijab yang kami hasilkan. Dengan persembahan produk ‘kelas A’ maka peluang untuk membuka mata pelanggan dari luar negara lebih terbuka luas.
“Hanya koleksi edisi terhad ini sahaja yang dijual dengan harga RM800 sehelai kerana hijab ini menggunakan material yang berkualiti tinggi. Koleksi-koleksi yang lain boleh didapati dengan harga serendah RM130,” akhiri Vivy menutup perbualannya.
Sumber: www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment