BERGELUMANG dalam dunia perniagaan pada usia yang masih ‘hijau’ memberi kelebihan buat Nur Liyana Abdul Rahman menimba pengalaman lantas mencanai strategi di pentas bisnes. Nur Liyana atau lebih mesra disapa Liyana cukup bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada suaminya Muhammad Hafiz Abd Hamid mengusahakan bisnes berpaksikan fesyen Muslimah.
Kolaborasi mantap antara Liyana dan suaminya membuahkan kejayaan apabila label ciptaan mereka, Leeyanarahman mampu berdiri sebaris dengan label-label fesyen Muslimah yang lain. Nyata interpretasi kerja keras Liyana dan suaminya mencipta fenomena dalam arena bisnes di sebalik kebanjiran label-label tempatan yang lain.
Saat mementaskan koleksi fesyen mereka di Kuala Lumpur Fashion Nights 2017, rekaan yang diserlahkan oleh pasangan ini ‘lari’ dari gaya tipikal busana Muslimah yang lain. Kata pepatah, jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Liyana dan Hafiz berjaya membuktikan bahawa apabila sesuatu perkara itu jika diusahakan secara bersungguh-sungguh sudah pasti ia akan disulami dengan kejayaan.
Seperti juga usahawan-usahawan yang lain, Liyana punya perancangan tersendiri tentang hala tuju bisnes yang dibangunkan. Tidak dapat dinafikan saban hari ada sahaja jenama fesyen yang muncul di pasaran. Walaupun telah berjaya ‘mengikat’ ramai pelanggan setia namun itu bukanlah alasan untuk terus selesa. Keadaan ekonomi semasa yang semakin menyesakkan sedikit sebanyak memberi kesan secara tidak langsung.
Jejak perniagaan
“Kami melangkah ke alam perniagaan pada 2012 ketika sama-sama menuntut di UiTM di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan. Semuanya bermula apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial.“Siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan hanya sebanyak RM1,500 dan kami menghasilkan 14 helai busana.
“Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Daripada keuntungan itu kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit daripada 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar,” ujar Hafiz.
Selepas menyaksikan sambutan luar biasa yang diterima daripada pelanggan, pasangan ini menghentikan rekaan tersebut kerana ingin lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Wang sebanyak RM1,500 yang digunakan sebagai modal adalah wang pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600. Alhamdulillah daripada hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri. Alhamdulillah segala kepayahan yang kami lalui selama ini membuahkan kejayaan yang cukup manis buat kami berdua,” jelas Hafiz.
Tidak dapat disangkal bahawa menjalankan bisnes ketika masih menuntut bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi. Namun kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Buktinya Liyana berjaya mencipta kejayaan yang cukup manis bersama suami tercinta.
“Memang agak susah pada mulanya namun kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh, apabila kami menjalankan perniagaan secara atas talian dengan serius, pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.
“Jika kami hendak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan, saya dan Hafiz membawa ahli keluarga masing-masing. Maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan dan mengelak fitnah. Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014, kami melangsungkan perkahwinan. Keputusan ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja.
“Sebaik melangsungkan perkahwinan, lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman,” jelas Liyana yang kini meniti usia 27 tahun, sebaya dengan suaminya.
Cabaran dan persaingan
Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Cabaran dalam dunia perniagaan bukan sedikit. Kadangkala ia sukar dijangka. Pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Ketika itu mereka masih menuntut di menara gading.“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan, kami membuat konsep pra-tempahan. Pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.
“Namun siapa sangka, banyak baju yang telah dijahit oleh kilang yang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat tidak berkualiti. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman. Hanya baju-baju yang dijahit dengan sempurna sahaja kami serahkan kepada pelanggan. Kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi. Bayangkan maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semuanya harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit.
“Kami dapat merasai kekecewaan pelanggan kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya. Wang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit. Jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar semula setiap wang pelanggan yang tidak memperoleh baju. Sampai satu tahap kami terpaksa merayu kepada pelanggan untuk menangguhkan sedikit waktu pembayaran semula disebabkan masalah ini. Namun alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikannya,” kongsi Liyana.
Peristiwa yang cukup terkesan itu banyak mengajar Liyana dan suaminya agar lebih cekal di dalam bidang perniagaan. Selepas melalui ‘pengalaman hitam’ tersebut mereka tidak lagi membuat koleksi pra-tempahan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.
“Setiap busana yang dihasilkan, kami titik beratkan kawalan kualiti agar produk yang diberikan kepada pelanggan sempurna. Tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan, persaingan memang sentiasa ada. Kami bernasib baik kerana kami telah bermula awal dalam bidang fesyen Muslimah. Boleh dikatakan kami antara yang terawal memulakan perniagaan sebegini. Jadi apabila banyak jenama-jenama muncul kini, kami sudah berada selangkah ke hadapan daripada mereka.
“Walaupun begitu, kami tidak menganggap persaingan yang diterima sebagai perkara yang remeh. Di dalam perniagaan kita tidak boleh sesekali berasa selesa dengan kejayaan yang telah dicapai, sebaliknya ia harus menjadi pemangkin untuk kita lebih maju ke hadapan. Sebagai contoh, sekarang setiap bulan kami pasti akan menghasilkan lebih kurang empat rekaan yang berbeza bagi memberi pelanggan sesuatu pilihan yang baru.
“Tidak dinafikan bahawa kini jualan tidak semeriah dahulu, terutamanya sejak musim hari raya yang lalu. Mungkin atas faktor kemelesetan ekonomi pembeli mula lebih berhati-hati untuk berbelanja. Oleh itu kami cuba menawarkan rekaan dan produk berkualiti kepada pelanggan agar setiap pembelian mereka berbaloi. Saya juga yakin bahawa jenama Leeyanarahman kekal dengan identiti yang memiliki jiwanya sendiri. Kami tidak terlalu terikut-ikut dengan trend semasa sebaliknya lebih suka mencari gaya tersendiri yang sesuai dengan wanita,” ujar Hafiz.
Variasi produk
Selain baju dan juga tudung, label Leeyanarahman juga turut menawarkan koleksi beg yang sesuai digayakan oleh semua wanita. Apa yang pasti, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, kedua-dua pasangan ini berani menceburi stail dan juga rekaan baharu agar peminat Leeyanarahman kekal setia dengan jenama mereka. Bekerja bersama memberikan lebih peluang kepada pasangan ini untuk lebih fokus dalam merangka strategi perniagaan.“Kami memiliki kehendak yang sama di dalam kehidupan iaitu untuk berjaya meskipun kami punya personaliti yang berbeza. Hafiz lebih kepada seorang yang sangat tenang dan saya pula lebih kepada yang banyak bercakap. Pendek kata kami berdua saling melengkapi sebenarnya dan ini adalah satu perkara yang penting sebagai rakan kongsi perniagaan khususnya.
“Selain itu jika dalam bab mereka busana juga kami saling memberikan pendapat. Ini kerana saya yang bertanggungjawab menghasilkan setiap rekaan di bawah jenama Leeyanarahman. Perlu difahami bahawa apabila sudah terlibat dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh berkira dalam soal masa. Hendak berjaya bererti kita harus bersedia untuk menyiapkan kerja tidak kira waktu dan harus sentiasa bersedia menjalankan tugas.
“Kita juga harus bersikap profesional dan realistik. Penting untuk ada hitam dan putih dalam perniagaan agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan selain melindungi diri kita daripada kerugian,” akhiri Liyana menutup bicara.
5 resipi mencipta kejayaan dalam perniagaan:
1. Berusaha dengan gigih bukan sambil lewa.2. Perlu ada kekuatan mental dan fizikal.
3. Jangan mudah berputus asa.
4. Punya strategi untuk memajukan perniagaan.
5. Sentiasa bersedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.
Sumber: www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment