Saturday, 23 December 2017
Tak kecewa kerap dikritik
PENGACARA dan pelakon popular Neelofa tidak pernah terlintas untuk membuka tudung apabila dia tampil dengan gaya tudung moden ketika menghadiri Minggu Fesyen Swarovski di Milan, Itali, minggu lalu.
Neelofa berkata, dia lebih mengenali dirinya yang sebenar berbanding mendengar cakap netizen yang tidak henti-henti mengkritik penampilannya.
"Saya tidak pernah terfikir untuk membuka tudung. Dengan penampilan bertudung, ia sudah membawa banyak kejayaan dan rezeki sepanjang saya membabitkan diri dalam industri seni ini.
"Disebabkan imej ini jugalah saya dibawa mengunjungi banyak negara oleh beberapa jenama antarabangsa untuk memperkenalkan budaya dan imej wanita Muslim," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Lancome Malaysia di Banting, Selangor, hari ini.
Terdahulu, Neelofa dikritik netizen di Instagram apabila mengenakan turban sehingga menampakkan sebahagian rambut ketika menghadiri minggu fesyen itu.
Namun, dalam masa sama, penampilan Neelofa turut mendapat perhatian model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.
Menurut Neelofa, dia mengakui gemar bereksperimentasi dengan gaya penampilannya supayamengikut trend terkini.
"Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.
"Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung serta sering memberikan pelbagaialasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai gambar menampakkan bahagian lututnya ketika mengenakan jeans di lokasi sama yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, Neelofaberkata, dia tidak boleh cepat melenting apabila dikecam sebaliknya perlu memberi masa kepada umum untuk mengetahui sesuatu jenis fesyen itu.
"Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya.
"Saya tidak kecewa apabila dikritik kerana saya tahu apa yang saya pakai ini. Cuma segelintir masyarakat belum dapat menerima gaya fesyen yang dikenakan,"katanya.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment