Saturday, 23 December 2017

Blaus feminin dan 'trendy'


Longgar, sopan, ringkas dan kemas. Jarang sekali bertemu empat ciri ini untuk sehelai blaus. Jika ada sekalipun, sudah tentu harganya mencecah ratusan ringgit.

Ada juga yang lebih murah dan nampak menepati ciri yang disebutkan. Namun apabila disarung ke tubuh, ada saja kekurangan yang dilihat. Jahitan ala kadar, kain mengecut, jarang dan paling teruk menonjolkan susuk tubuh.

Mungkin ada yang menganggap kesopanan dalam fesyen menzahirkan pakaian membosankan atau kurang menyerlah. Namun sedar ataupun tidak, semakin banyak jenama di dunia termasuk yang sudah terkenal beralih kepada pakaian lebih longgar, labuh, berkain tebal dan sopan.

Mereka memahami setiap orang mempunyai cita rasa berbeza dan majoriti gemarkan gaya sopan kerana ia bukan saja selesa, tetapi mudah disesuaikan untuk semua acara, rasmi mahupun tidak.
Sopan juga melambangkan tahap profesional seseorang dan daya tarikan wanita matang. Wanita bekerjaya misalnya amat mementingkan pakaian sopan kerana ia sesuai dengan suasana di pejabat dan luar pejabat.

Malah ibu muda kini juga semakin cenderung memilih pakaian sopan kerana selesa, mudah untuk bergerak dan paling utama menonjolkan kelembutan dalam gaya.

Jenama pakaian labuh-longgar-sopan tempatan, ByJajaKalam memperkenalkan pelbagai jenis blaus feminin dan ‘trendy’ dengan rekaan baru setiap bulan bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita bergaya mengikut keperluan serta kemampuan poket masing-masing.

Paling menarik, jenama berkenaan turut menyediakan pilihan tudung, palazo dan skirt sebagai pelengkap gaya.

Pemiliknya, Siti Hajjar Abdul Kalam berkata, idea mengeluarkan blaus datang secara spontan apabila ramai pengikut laman media sosialnya bertanyakan baju yang dipakai ketika bergambar bersama keluarga dan teman.

“Sejak itu, saya mula membuat tinjauan mengenai kehendak wanita kini dalam berpakaian, khususnya ibu muda. Saya pilih fabrik bersesuaian dengan cuaca tempatan, tidak perlu digosok dan reka blaus potongan ringkas.

“Fokus utama saya memang golongan ibu. Mereka ini biasanya sukakan pakaian ringkas dan cepat (mudah dipakai). Selain kain berkualiti, keistimewaan rekaan saya adalah pada bahagian pergelangan tangan blaus. Mereka tidak perlu membeli stoking tangan kerana ada cekak lembut yang mudah regang di pergelangan.

“Fungsi ini bukan saja mesra wuduk, malah memenuhi kriteria pemakaian wanita yang mahu tampil sopan serta memelihara aurat. Selain itu, semua blaus rekaan saya juga mempunyai zip sorok di bahagian dada.

“Ini sekali gus memudahkan golongan ibu menyusukan anak mereka dengan selesa,” katanya yang membina rakan komuniti di Facebook.

Jelas Siti Hajjar, dia sentiasa bertanya dan melakukan tinjauan membabitkan rakan komuniti kerana mahu menghasilkan blaus mengikut trend dan kesesuaian wanita kini.

“Sehingga kini, saya menghasilkan blaus menggunakan tiga jenis fabrik iaitu krep mos, lycra Korea dan kapas linen. Semua jenis fabrik ini mesra dengan cuaca di Malaysia dan tidak perlu digosok.
“Manakala bagi potongan blaus, saya lebih mengutamakan bahagian lengan dan pinggul ke bawah. Ini kerana, kebanyakan wanita kini lebih selesa mengenakan blaus yang sopan, menutup bahagian pinggul serta punggung,” katanya.

Sumber: www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment