Saturday, 23 December 2017

Pelbagaikan rekaan, corak dan warna


Fashion Republik Kuala Lumpur 21 (FRKL21) cukup sinonim dengan wanita muda yang gemarkan sepatu gaya moden dan selesa dengan sentuhan mewah.

Siapa tidak kenal pemiliknya, Ashhry Atan. Anak muda kelahiran Johor yang kerap membahasakan diri sebagai Kak Maneh ini cukup ramah melayan pertanyaan pengikut jenama itu di laman Instagram.

Malah, dek gelaran unik itulah pelanggannya tidak segan bertanya apa saja kekeliruan mengenai sepatu di butiknya hingga jualan kasut rekaannya laris bak pisang goreng panas.

Singgah di butik FRKL21 di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini, Ashhry sempat bercerita mengenai gaya sepatu yang akan ditampilkan sepanjang 2018 nanti.

Katanya, dia mahu terus mengekalkan tanda pengenalan jenama itu yang sinonim dengan pilihan sepatu bertumit tinggi, selesa dan berwarna-warni.

“Sepanjang tahun ini, kami boleh lihat ramai wanita tertumpu kepada sepatu jenis baji. Mungkin kerana orang sekarang sukakan fesyen potongan longgar seperti palazo dan gaun, jadi mereka pilih sepatu kami untuk dipadankan dengan gaya.

“Bagaimanapun, pada 2018, kami akan lebih fokus kepada sepatu jenis platform, baji dan yang bertumit besar serta tinggi. Sementara pilihan warna, variasi rekaan dan keselesaan menjadi bonus buat pemakai,” katanya.

BERSAING JENAMA MEWAH

Menurut sahabat baik kepada penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat ini, dia cukup senang melayan pertanyaan ramai wanita yang ingin tahu mengenai perbezaan sepatu rekaannya dengan pilihan sedia ada di pasaran.

“Kalau orang tanya apa bezanya, sudah tentulah banyak, terutama dari segi pilihan warna, material, rekaan, keselesaan dan harga. Sebagai pereka, saya suka menghasilkan kasut pelbagai warna dan ketinggian.

“Setakat ini, tinggi maksimum sepatu di butik ini antara lima hingga enam inci. Malah, saya rasa, semakin tinggi sepatu, semakin bagus. Tetapi ada pula yang bertanya, selesa ke?

“Kebiasaannya, apabila kasut rekaan siap untuk percubaan, saya akan minta pekerja butik pakai sekurang-kurangnya untuk seminggu bagi memastikan ia selesa, stabil dan memenuhi kehendak wanita. Selepas berpuas hati, barulah kita akan teruskan dengan kerja pembuatan di kilang,” katanya.
Jelas Ashhry, pelanggan yang pernah datang ke butik untuk mencuba, biasanya tahu apa kelebihan kasut yang dihasilkan. Ia bukan setakat mengikut trend semasa, tetapi menepati cita rasa golongan muda, remaja hinggalah wanita dewasa yang suka bergaya.

“Pelanggan juga datang dari pelbagai latar belakang. Ada pelajar menengah, penuntut kolej, wanita berkerjaya, artis, selebriti dan kenamaan. Mereka sukakan sepatu di sini bukan sebab unik semata-mata, tetapi selesa, tampak mewah dan harganya berpatutan.

“Ada antara wanita daripada golongan kenamaan yang datang ke sini mengadu, mereka membeli sepatu berjenama dengan ketinggian lima ke enam inci mencecah harga ribuan ringgit. Tetapi sakit (kaki dan otot) apabila dipakai untuk tempoh lama.

“Selepas mencuba beberapa rekaan sepatu di butik ini, mereka terus ‘memborong’ sakan. Malah ada antaranya yang menyarung sepatu tinggi yang saya hasilkan untuk kegunaan harian.

“Tambahan wanita sekarang memang sukakan warna dan gaya yang menonjol, jadi saya ambil kesempatan itu untuk mempelbagaikan rekaan kasut, corak dan warna,” katanya.

BENTUK WANITA YAKIN

Kalau dilihat daripada deretan sepatu dihasilkan, ada antaranya mempunyai tag jenama besi rona keemasan. Kata Ashhry, dia sengaja menonjolkan tag berkenaan untuk membezakan sepatu asli keluarannya dengan tiruan.

“Dulu, saya antara perintis yang mengeluarkan rekaan kasut pelbagai warna dan ketinggian di pasaran atas talian. Kemudian, tiba suatu masa, kasut yang saya hasilkan tular di media sosial. Sejak itu ramai yang memalsukan jenama kasut FRKL21.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya mula meletakkan tag jenama besi pada kasut. Tag ini biasanya orang letak di tudung, tetapi saya pasangkan pada kasut. Secara tidak langsung, rekaan sepatu nampak lebih mewah dan eksklusif,” katanya.

Kata Ashhry, sejak jenama itu mula diperkenalkan pada 2013, sepatu rekaannya semakin menjadi pilihan ramai selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mia Ahmad, Ayda Jebat dan Indah Ruhaila.
“Mungkin kerana usia muda, saya banyak tahu dan mudah faham kehendak orang muda kini. Saya juga berkongsi idea dengan pelanggan, bagaimana untuk mereka menggayakan sepatu dengan busana sesuai.

“Jika boleh, saya mahu mendedahkan lebih ramai wanita kepada pelbagai fesyen kasut, mengikut trend semasa. Ramai wanita yang mahu tampil bergaya seperti selebriti kesukaan mereka, tetapi tidak yakin untuk memilih sepatu bertumit tebal.

“Saya sendiri kerap memerhati wanita terutama di majlis dan kenduri. Saya lihat sepatu jenis apa menjadi pilihan mereka dan ciri yang membolehkan wanita selesa,” katanya yang sudah membeli trak untuk jelajah FRKL21 di seluruh negara mulai Februari depan.

Siri jelajah itu dijangka bermula di utara selama empat hari untuk memberi peluang kepada lebih ramai wanita mencuba sendiri sepatu idaman mereka sebelum membuat keputusan untuk membeli.

TIP MEMILIKI KASUT TINGGI

1. Anda perlu memilih saiz tepat dan potongan kasut yang selesa untuk mengelak sakit kaki terutama bagi yang banyak berjalan.
2. Pilih material dalam kasut yang lembut untuk keselesaan jangka panjang
3. Jangan simpan kasut di dalam kereta. Bahang panas ketika kereta di bawah terik matahari boleh mencairkan gam, sekali gus merosakkan sepatu dan menyebabkan gamnya lekang.
4. Bersihkan sepatu baldu menggunakan berus lembut.
5. Sebaiknya, sepatu jenis kulit PU dicuci menggunakan minyak bersesuaian.
6. Sekiranya anda berbadan besar, disarankan memilih sepatu bertumit dempak dan lebar untuk menyokong keseimbangan tubuh.
7. Bagi wanita yang baru hendak mencuba sepatu bertumit, seeloknya mula dengan ketinggian sekitar tiga ke empat inci.
8. Elakkan berjalan di permukaan tidak rata.
9. Pastikan anda mahir menggunakan sepatu bertumit sebelum menyarungnya ke mana-mana majlis. Jika membeli kasut baru, sebaiknya ‘mesrakan’ kaki dengan kasut berkenaan terlebih dulu.
10. Usah menyarung kasut bertumit tinggi sekiranya anda mempunyai masalah otot atau tulang belakang. Sebaik-baiknya, dapatkan nasihat pakar.

Sumber: www1.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment