Saturday, 23 December 2017

Definisi perasaan cinta


Meskipun rekaan baru tudung dan selendang kerap muncul di pasaran seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan, namun hijab bercorak eksklusif dengan elemen mewah tetap menjadi pilihan utama Muslimah yang mementingkan gaya.

Peka dengan senario itu, pengeluar tudung jenama Veena Hijab kini menampilkan koleksi selendang premium dengan rekaan eksklusif dan unik, menggunakan cetakan digital, bertemakan Cinta Pandang Pertama.

Pengasasnya, Veena Azmi berkata, rekaan unik itu mendapat sambutan menggalakkan berikutan ramai wanita semakin mementingkan nilai, penampilan penuh gaya dan pilihan persalinan eksklusif, sesuai dengan kemampuan diri.

Malah, beliau sendiri mengakui sentiasa tertarik kepada fesyen unik dan berbeza untuk digayakan. Dari situ terbitnya ilham untuk Veena menghasilkan rekaan tersendiri, khusus buat wanita moden yang berhijab.

SUTERA MEWAH

Melihat sendiri hamparan koleksi Veena baru-baru ini, wanita itu cukup teruja memperkenalkan selendang cetakan digital yang kini mencipta populariti dalam kalangan pengikut fesyen semasa.
Menggunakan fabrik sutera satin, Veena berkata, koleksi selendang panjang itu adalah gambaran perasaan cinta yang tersemat indah dalam hatinya dan mahu dikongsi dengan semua wanita.
“Bunga mendefinisikan perasaan cinta, emosi dan kasih sayang. Ia media paling tepat untuk kita melahirkan rasa cinta dan kasih kepada insan tersayang.

“Lambang cinta itu diungkapkan kembali menerusi lakaran dan karya dalam rekaan corak selendang. Selain perasaan cinta, bunga juga menterjemahkan erti kemanisan, kekuatan dan kepercayaan. Semua itu ada dalam koleksi kali ini,” katanya yang turut mencipta nama sebagai pereka hijab popular di Brunei.

Berkenaan fabrik, jelas Veena, dia sengaja memilih sutera satin kerana selesa dipakai untuk tempoh lama, sejuk dan lembut. Ia juga mudah disuai padan dengan busana polos untuk ke majlis atau bersantai bersama keluarga.

“Selendang sepanjang dua meter ini tampak mewah dengan kemasan cetakan digital. Ia juga mempunyai kemasan tepi bermotifkan abstrak potongan laser bagi menambahkan lagi pesona kepada pemakai.

“Apabila menggunakan kemasan potongan laser, bermakna tiada jahitan mesin digunakan. Secara tidak langsung, selendang ini nampak lebih kemas dengan sentuhan mewah, elegan dan berkualiti tinggi. Paling utama, ia menambah keunikan dan ciri eksklusif yang ada pada setiap helaian yang kita hasilkan,” katanya.

Koleksi ini didatangkan dalam lima warna pastel dan satu warna hitam (bold). Antaranya, Bamboo Leaves dengan warna asas putih gading bermotifkan daun pokok buluh dan kipas palas kehijauan.
Pemilihan warna lembut seperti krim pada koleksi Bloomy Bouquet, kelabu untuk koleksi Frosty Bloom dan biru lembut pada Garden Valley pula menyerlahkan lagi motif bunga, menjadikan ia nampak lebih menonjol dan hidup.

Kata Veena, kejayaan mengetengahkan rekaan terkini dan menempa nama di pentas fesyen antarabangsa sempena Minggu Fesyen Dunia Malaysia baru-baru ini, turut memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan rekaan selendang bersesuaian dengan tema minggu fesyen itu, ‘Love The Nature, Love The World’.

Sumber: www.hmetro.com.my

Tudung mudah bentuk


Selepas kemuncak populariti selendang pelbagai gaya, tudung ‘halfmoon’ dan bawal, ramai wanita kini kembali kepada keunikan tudung Turki yang pernah popular satu masa dulu.

Tudung empat segi kini menjadi antara carian popular kerana keunikan corak, keselesaan fabrik dan ikutan trend semasa. Tudung jenis ini bukan setakat ringkas dan mudah dipakai, malah memenuhi kriteria menutup aurat bagi kebanyakan wanita Muslimah.

Membawa kelainan dalam fesyen berhijab, Fuzainy Scarves tampil dengan rekaan tudung empat segi yang lebih elegan, diimport terus dari negara asalnya, Turki.

Menurut pemiliknya, Sharifah Fuzainy Syed Othman, tudung empat segi dengan ukuran yang lebih besar itu memudahkan wanita bergaya mengikut syariat Islam. Ia juga boleh dipelbagai gaya mengikut kreativiti pemakai, sesuai dengan meningkatnya populariti cincin tudung.

“Keistimewaan tudung ini pada kualiti materialnya. Antara fabrik yang digunakan adalah sutera rayon, kapas dan viskos, menjadikan setiap helaian tudung sangat selesa dan sejuk dipakai.
“Sekalipun fabrik ini lembut, ringan dan kelihatan licin, namun ia mudah dibentuk, apatah lagi bagi mereka yang memakai cermin mata,” katanya.

Tidak juga perlu bimbang jika tidak memakai anak tudung kerana tudung ini tidak jarang. Paling utama, ia juga mudah digosok dan tidak cepat renyuk, umpama bonus kepada mereka yang gemarkan sesuatu yang ringkas.

“Setiap helaian tudung Turki ini membawa elemen mewah dan kontemporari. Coraknya unik, menjadikan tudung ini pilihan terbaik bagi kebanyakan wanita yang mementingkan penampilan terkini, dalam masa sama, kekal dengan konsep dan gaya Turki,” katanya.

Mempunyai bidang 50 inci, wanita Islam dapat menutup aurat dengan sempurna. Pemakai tudung ini juga masih tetap kelihatan bergaya dengan rekaan eksklusif bermotifkan floral dan ronanya yang menyerlah.

“Kami juga menyediakan tudung polos sebagai pilihan untuk wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun. Semua tudung boleh didapati pada harga RM55 hingga RM99 sehelai,” katanya.

Sumber: www.hmetro.com.my

Kuasa di sebalik sehelai tudung


Kuasa penampilan bertudung membawa 1,000 pengertian dalam hidup pelakon dan pengacara popular Neelofa.

Tidak pernah terlintas di hatinya untuk membuka tudung walaupun dilantik menjadi duta jenama antarabangsa dan dikecam bertubi-tubi oleh netizen.

Menurut Neelofa, sejak bertudung tiga tahun lalu, banyak perubahan besar berlaku dalam hidupnya sehingga membawa kejayaan demi kejayaan.


“Saya tidak pernah terlintas dan tidak akan sesekali membuka tudung. Ia membawa kepada siapa saya sekarang dan banyak perubahan besar berlaku dalam hidup.


“Apa tidaknya, ketika di New York untuk MiSK-UNPD Youth Forum baru-baru ini, saya menjadi antara speaker wanita muda bertudung dari negara yang asing bagi mereka dan alhamdulillah imej ini yang membuka mata mereka.

“Saya juga pernah bertanya kepada Swarovski, kenapa mereka mahukan saya? Mereka mengatakan saya mewakili wanita Muslim dalam usaha meluaskan promosi mereka kepada individu berbeza.
“Kemudian, di Boston pula nanti saya diminta bercakap mengenai jenama tudung saya. Jadi, ini bukti betapa besarnya kuasa sehelai tudung,” katanya pada majlis pelantikan Neelofa sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia sedih apabila penampilannya dengan gaya tudung moden ketika menghadiri Minggu Fesyen Swarovski di Milan, Itali, minggu lalu, dikritik netizen di sini.

Neelofa dikritik apabila mengenakan turban sehingga menampakkan sebahagian rambut ketika menghadiri minggu fesyen itu.

Namun, pada masa sama, penampilan Neelofa turut mendapat perhatian model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.

“Saya sedih apabila netizen yang mengecam ini langsung tidak menghargai dan melihat usaha dalam memecahkan tembok wanita berhijab di Malaysia menghadiri forum ini.

“Saya cuba mengubah streotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan. Malangnya apa yang mereka nampak semuanya negatif sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dengan penampilan saya waktu itu,” katanya.

Menurut Neelofa, dia mengagumi setiap individu yang hadir ketika menghadiri forum berkenaan.
“Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak menghukum wanita bertudung. Mereka sangat terbuka dengan penampilan saya dan menghormati saya sebagai seorang wanita Islam,” katanya.
Menurut Neelofa, dia mengakui gemar bereksperimentasi dengan gaya penampilannya supaya mengikut trend terkini.

“Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.

“Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung dan sering memberikan pelbagai alasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung.

“Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya,” katanya.

Sumber: www.hmetro.com.my

Ceritera sukses label Leeyanarahman


BERGELUMANG dalam dunia perniagaan pada usia yang masih ‘hijau’ memberi kelebihan buat Nur Liyana Abdul Rahman menimba pengalaman lantas mencanai strategi di pentas bisnes. Nur Liyana atau lebih mesra disapa Liyana cukup bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada suaminya Muhammad Hafiz Abd Hamid mengusahakan bisnes berpaksikan fesyen Muslimah.
Kolaborasi mantap antara Liyana dan suaminya membuahkan kejayaan apabila label ciptaan mereka, Leeyanarahman mampu berdiri sebaris dengan label-label fesyen Muslimah yang lain. Nyata interpretasi kerja keras Liyana dan suaminya mencipta fenomena dalam arena bisnes di sebalik kebanjiran label-label tempatan yang lain.

Saat mementaskan koleksi fesyen mereka di Kuala Lumpur Fashion Nights 2017, rekaan yang diserlahkan oleh pasangan ini ‘lari’ dari gaya tipikal busana Muslimah yang lain. Kata pepatah, jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Liyana dan Hafiz berjaya membuktikan bahawa apabila sesuatu perkara itu jika diusahakan secara bersungguh-sungguh sudah pasti ia akan disulami dengan kejayaan.

Seperti juga usahawan-usahawan yang lain, Liyana punya perancangan tersendiri tentang hala tuju bisnes yang dibangunkan. Tidak dapat dinafikan saban hari ada sahaja jenama fesyen yang muncul di pasaran. Walaupun telah berjaya ‘mengikat’ ramai pelanggan setia namun itu bukanlah alasan untuk terus selesa. Keadaan ekonomi semasa yang semakin menyesakkan sedikit sebanyak memberi kesan secara tidak langsung.

Jejak perniagaan

“Kami melangkah ke alam perniagaan pada 2012 ketika sama-sama menuntut di UiTM di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan. Semuanya bermula apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial.

“Siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan hanya sebanyak RM1,500 dan kami menghasilkan 14 helai busana.

“Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Daripada keuntungan itu kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit daripada 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar,” ujar Hafiz.
Selepas menyaksikan sambutan luar biasa yang diterima daripada pelanggan, pasangan ini menghentikan rekaan tersebut kerana ingin lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Wang sebanyak RM1,500 yang digunakan sebagai modal adalah wang pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.  Alhamdulillah daripada hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri. Alhamdulillah segala kepayahan yang kami lalui selama ini membuahkan kejayaan yang cukup manis buat kami berdua,” jelas Hafiz.


Tidak dapat disangkal bahawa menjalankan bisnes ketika masih menuntut bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi. Namun kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Buktinya Liyana berjaya mencipta kejayaan yang cukup manis bersama suami tercinta.

“Memang agak susah pada mulanya namun kami anggap ia sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh, apabila kami menjalankan perniagaan secara atas talian dengan serius, pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.

“Jika kami hendak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan, saya dan Hafiz membawa ahli keluarga masing-masing. Maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan dan mengelak fitnah. Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014, kami melangsungkan perkahwinan. Keputusan ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja.

“Sebaik melangsungkan perkahwinan, lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman,” jelas Liyana yang kini meniti usia 27 tahun, sebaya dengan suaminya.

Cabaran dan persaingan

Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Cabaran dalam dunia perniagaan bukan sedikit. Kadangkala ia sukar dijangka. Pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak. Ketika itu mereka masih menuntut di menara gading.

“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan, kami membuat konsep pra-tempahan. Pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.

“Namun siapa sangka, banyak baju yang telah dijahit oleh kilang yang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat tidak berkualiti. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman. Hanya baju-baju yang dijahit dengan sempurna sahaja kami serahkan kepada pelanggan. Kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi. Bayangkan maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semuanya harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit.


“Kami dapat merasai kekecewaan pelanggan kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya. Wang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit. Jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar semula setiap wang pelanggan yang tidak memperoleh baju. Sampai satu tahap kami terpaksa merayu kepada pelanggan untuk menangguhkan sedikit waktu pembayaran semula disebabkan masalah ini. Namun alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikannya,” kongsi Liyana.

Peristiwa yang cukup terkesan itu banyak mengajar Liyana dan suaminya agar lebih cekal di dalam bidang perniagaan. Selepas melalui ‘pengalaman hitam’ tersebut mereka tidak lagi membuat koleksi pra-tempahan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

“Setiap busana yang dihasilkan, kami titik beratkan kawalan kualiti agar produk yang diberikan kepada pelanggan sempurna. Tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan, persaingan memang sentiasa ada. Kami bernasib baik kerana kami telah bermula awal dalam bidang fesyen Muslimah. Boleh dikatakan kami antara yang terawal memulakan perniagaan sebegini. Jadi apabila banyak jenama-jenama muncul kini, kami sudah berada selangkah ke hadapan daripada mereka.
“Walaupun begitu, kami tidak menganggap persaingan yang diterima sebagai perkara yang remeh. Di dalam perniagaan kita tidak boleh sesekali berasa selesa dengan kejayaan yang telah dicapai, sebaliknya ia harus menjadi pemangkin untuk kita lebih maju ke hadapan. Sebagai contoh, sekarang setiap bulan kami pasti akan menghasilkan lebih kurang empat rekaan yang berbeza bagi memberi pelanggan sesuatu pilihan yang baru.

“Tidak dinafikan bahawa kini jualan tidak semeriah dahulu, terutamanya sejak musim hari raya yang lalu. Mungkin atas faktor kemelesetan ekonomi pembeli mula lebih berhati-hati untuk berbelanja. Oleh itu kami cuba menawarkan rekaan dan produk berkualiti kepada pelanggan agar setiap pembelian mereka berbaloi. Saya juga yakin bahawa jenama Leeyanarahman kekal dengan identiti yang memiliki jiwanya sendiri. Kami tidak terlalu terikut-ikut dengan trend semasa sebaliknya lebih suka mencari gaya tersendiri yang sesuai dengan wanita,” ujar Hafiz.

Variasi produk

Selain baju dan juga tudung, label Leeyanarahman juga turut menawarkan koleksi beg yang sesuai digayakan oleh semua wanita. Apa yang pasti, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, kedua-dua pasangan ini berani menceburi stail dan juga rekaan baharu agar peminat Leeyanarahman kekal setia dengan jenama mereka. Bekerja bersama memberikan lebih peluang kepada pasangan ini untuk lebih fokus dalam merangka strategi perniagaan.

“Kami memiliki kehendak yang sama di dalam kehidupan iaitu untuk berjaya meskipun kami punya personaliti yang berbeza. Hafiz lebih kepada seorang yang sangat tenang dan saya pula lebih kepada yang banyak bercakap. Pendek kata kami berdua saling melengkapi sebenarnya dan ini adalah satu perkara yang penting sebagai rakan kongsi perniagaan khususnya.

“Selain itu jika dalam bab mereka busana juga kami saling memberikan pendapat. Ini kerana saya yang bertanggungjawab menghasilkan setiap rekaan di bawah jenama Leeyanarahman. Perlu difahami bahawa apabila sudah terlibat dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh berkira dalam soal masa. Hendak berjaya bererti kita harus bersedia untuk menyiapkan kerja tidak kira waktu dan harus sentiasa bersedia menjalankan tugas.

“Kita juga harus bersikap profesional dan realistik. Penting untuk ada hitam dan putih dalam perniagaan agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan selain melindungi diri kita daripada kerugian,” akhiri Liyana menutup bicara.

5 resipi mencipta kejayaan dalam perniagaan:

1. Berusaha dengan gigih bukan sambil lewa.
2. Perlu ada kekuatan mental dan fizikal.
3. Jangan mudah berputus asa.
4. Punya strategi untuk memajukan perniagaan.
5. Sentiasa bersedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Tak kecewa kerap dikritik


PENGACARA dan pelakon popular Neelofa tidak pernah terlintas untuk membuka tudung apabila dia tampil dengan gaya tudung moden ketika menghadiri Minggu Fesyen Swarovski di Milan, Itali, minggu lalu.

Neelofa berkata, dia lebih mengenali dirinya yang sebenar berbanding mendengar cakap netizen yang tidak henti-henti mengkritik penampilannya.

"Saya tidak pernah terfikir untuk membuka tudung. Dengan penampilan bertudung, ia sudah membawa banyak kejayaan dan rezeki sepanjang saya membabitkan diri dalam industri seni ini.
"Disebabkan imej ini jugalah saya dibawa mengunjungi banyak negara oleh beberapa jenama antarabangsa untuk memperkenalkan budaya dan imej wanita Muslim," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Lancome Malaysia di Banting, Selangor, hari ini.

Terdahulu, Neelofa dikritik netizen di Instagram apabila mengenakan turban€™ sehingga menampakkan sebahagian rambut ketika menghadiri minggu fesyen itu.

Namun, dalam masa sama, penampilan Neelofa turut mendapat perhatian model terkenal antarabangsa termasuk Karlie Kloss.

Menurut Neelofa, dia mengakui gemar bereksperimentasi dengan gaya penampilannya supayamengikut trend™ terkini.

"Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi.

"Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung serta sering memberikan pelbagaialasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai gambar menampakkan bahagian lututnya ketika mengenakan jeans di lokasi sama yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini, Neelofaberkata, dia tidak boleh cepat melenting apabila dikecam sebaliknya perlu memberi masa kepada umum untuk mengetahui sesuatu jenis fesyen itu.

"Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya.

"Saya tidak kecewa apabila dikritik kerana saya tahu apa yang saya pakai ini. Cuma segelintir masyarakat belum dapat menerima gaya fesyen yang dikenakan,"katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Empat tip memilih tudung sempurna


PEMILIHAN tudung yang sesuai pastinya akan menampilkan wajah yang berseri dan meningkatkan keyakinan diri seorang Muslimah. Selain untuk menutup aurat, pemakaian tudung juga melambangkan keperibadian diri seorang Muslimah. Tip fesyen kali ini kami kongsikan tentang asas pemilihan tudung sempurna buat anda untuk tampil anggun dan menawan.
1. Jenis fabrik
Pastikan anda memilih jenis fabrik yang selesa seperti kain kapas, kasa, satin, sutera, lycra, viscose mahupun sifon. Walaupun tudung daripada fabrik satin tampak cantik namun ia sukar untuk digayakan oleh sesetengah individu kerana fabriknya yang licin. Berbanding fabrik kasa yang kebanyakannya digunakan pada tudung bawal, penggayaannya lebih terletak dan mudah, selain sesuai untuk kebanyakan orang.
2. Pemilihan warna
Bagi orang muda, cuba elakkan memakai tudung dengan warna yang kusam ataupun gelap kerana warna-warna sebegini menampakkan usia anda lebih matang. Selain itu, jangan mengenakan tudung dan baju dengan warna sedondon. Untuk penampilan yang lembut tetapi ceria dan berkeyakinan tinggi, anda boleh memilih tudung polos dengan warna cerah seperti merah jambu, kuning dan biru.
3. Corak tudung
Pilih corak atau motif tudung yang samar-samar dan susunan corak yang tidak tertumpu di sekeliling wajah anda. Jika anda memilih tudung dengan border atau kaki, pastikan border tersebut tertumpu di bahagian hujung tudung, manakala bahagian kepala pula bebas daripada sebarang corak. Pilih corak tudung yang sopan dan sesuai dengan imej anda sebagai seorang Muslimah. Elakkan memakai tudung dengan unsur binatang atau bercorak buah catur.
4. Padanan tudung
Elakkan memadankan tudung bercorak bunga dengan baju yang juga bercorak bunga. Ini akan membuatkan penampilan anda kelihatan terlalu sarat dan berserabut. Padanan yang sesuai adalah dengan memilih rona tudung yang lebih lembut dan polos berbanding rona pada baju. Elakkan memilih tudung yang mempunyai rona sedondon dengan corak baju kerana ia akan membuatkan gaya anda nampak tidak menarik. Hadirkan gaya elegan dan eksklusif dalam penataan rona pastel yang memukau.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Neelofa, mogul seni dan fesyen


Melangkah maju menerjah dalam industri seni kira-kira enam tahun lalu, Noor Neelofa Mohd. Noor mendepani pelbagai onak liku yang sukar untuk dipatri dengan kata-kata.

Ya, dilihat lancar dengan mata kasar. Namun dia sendiri mengakui, cabaran yang perlu ditongkah bukan semudah mematahkan sebatang pensil. Pelbagai cerita fitnah harus ditepis, pelbagai kecaman dan kata-kata nista harus ditelan.

Bersua bicara dengan wanita besi ini, setiap butir kata dibingkaikan dengan penuh bersungguh. Bukan mudah untuk bertukar madah apatah lagi, berkongsi rasa dan cerita dengan pengacara MeleTop ini.

Apatah lagi, dia merupakan antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 baru-baru ini membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar mencari populariti.

Baru sahaja pulang daripada menghadiri program persidangan belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat (AS) bulan lepas, dia sekali lagi bakal terbang ke negara Uncle Sam sebagai salah seorang ahli panel di pentas persidangan utama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), September ini.

Anak Malaysia mana yang tidak berasa bangga melihat kejayaan demi kejayaan yang diukir kemas oleh wanita cantik molek ini. Kekuatan dan ketabahan permata seni berusia 28 tahun ini seharusnya dipandang tinggi.

Bukan hanya berjaya mengukir nama di pentas tempatan namun dia sudah membuka mata dunia luar dengan berbekalkan keperibadian yang tinggi dan jiwa muda yang sentiasa mahu mempelajari sesuatu.

Pastinya perasaan bangga membenih di jiwa wanita cekal ini. Pada saat namanya mengukir cerita indah dalam dunia seni, dia juga berjaya membuktikan kredibilitinya di persada dunia.

“Saya bersyukur dan pada masa yang sama, terharu atas peluang yang tidak akan sesekali saya lepaskan. Saya akan gunakan dengan kesempatan ini untuk menyampaikan misi dan suara anak-anak Malaysia.

“Ini adalah pentas yang mungkin hadir sekali seumur hidup sahaja. Sudah tentu misi saya adalah untuk memastikan kita semua, khususnya anak muda Malaysia didengari di persada dunia.

“Saya bakal menyampaikan idea yang merujuk kepada tajuk Kepelbagaian Budaya dan Kuasa Dunia Kreatif. Diharap dengan detik keemasan yang diberikan itu nanti, saya dapat mengharumkan nama negara,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Diaju pertanyaan, apa yang menjadi kekuatan saat berdepan cabaran, Neelofa tenang merasakan jenama Naelofar Hijab sendiri yang menjadi dahan untuk dia bertahan. Akar semangat untuk jenamanya bertahan kekal utuh.

Dia berjaya berdiri atas keringatnya sendiri. Setiap langkah diiringi doa supaya kejayaan yang ditempa adalah berkat usahanya. Dia menjual jenama dirinya menerusi kejayaan dalam dunia seni dan perniagaannya.

Aura jenama tudung yang mula meneroka pasaran tempatan tiga tahun lalu ini tidak dapat disangkal lagi. Di sudut hati Malaysia sendiri, Naelofar Hijab mempunyai tempat tersendiri.

Masih berkisar bicara sama, perbualan kami terarah persoalan apakah pengorbanan yang terpaksa pelakon filem Pilot Cafe ini rentangi demi memastikan perniagaannya, Naelofar Hijab berdiri teguh.

Seraya tersenyum, perlahan dia menguntai satu persatu cerita tentang bagaimana seorang anak seni ‘melupakan’ sebentar dunia lakonan demi kelangsungan jenama tudung unggulnya.

“Dahulu saya pernah ‘mengorbankan’ minat saya terhadap rekaan kasut demi kerjaya seni yang ketika itu baru bermula. Perlahan-lahan saya menempa nama sehingga diri yakin untuk kembali berniaga.

“Selepas itu, tiga tahun saya ‘menyepi’ dalam dunia lakonan untuk membina empayar Naelofar Hijab ini. Banyak orang tidak faham dan beri seribu satu alasan. Segala-galanya tampak mudah namun hanya yang menjalaninya tahu kesukarannya.

“Kalau kita hendak buat sesuatu yang besar, percayalah pengorbanannya juga besar. Kita harus melepaskan sesuatu untuk mencapai sesuatu. Berani mengambil risiko dan yakin dengan kemampuan diri,” katanya. - Gambar IHSAN NAELOFAR HIJAB

Doa peminat teras kekuatan

Dunia seni bagaikan kawah berapi yang bila-bila sahaja tersembur keluar larva panas merencatkan perjalanan. Dengan panahan kontroversi dan cerita sensasi, Neelofa kalis mengatasi.

Yang menjadi kekuatan adalah gema sorakan dan sokongan peminat yang tidak pernah lelah mengungkap rasa cinta terhadap artis kesayangan. Tanpa mereka yang membajai hati dengan cinta, sukar untuk kaki melangkah melukis kanvas seni.

“Ya, peminat adalah kaki yang melancarkan pendakian ke puncak kejayaan. Peminat berkualiti memberi impak besar terhadap seseorang artis. Nasihat saya, jika kita jumpa peminat berkualiti, jangan lepaskan mereka. Itu harta paling berharga.

“Saya cukup terharu dan tersentuh dengan sokongan tidak berbelah bahagi mereka. Tatkala saya diawani kontroversi, mereka adalah cahaya yang menyuluh kekuatan. Itu yang membuatkan saya bertahan dan tabah mendepani cabaran.” kata insan seni yang mempunyai lima juta pengikut di laman sosial Instagramnya.

Alang-alang berbicara soal peminat, gelora teka-teki lantas menari di benak fikiran. Apakah anak ketiga daripada lapan beradik ini sanggup mengorbankan kerjaya seninya demi cinta sejati?

Acap kali disoal tentang cinta dan jodoh, apakah tiada istilah penat dalam diari pelakon ini menjawab satu persatu persoalan yang merajai minda peminat dan rakan media.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir sehingga ke tahap itu lagi. Biarlah Tuhan yang menentukan kerana Dia tahu yang terbaik. Peminat mahukan yang terbaik untuk saya. Setiap doa dan harapan mereka menjadikan saya kuat.

“Populariti dan peminat adalah rezeki daripada Allah. Saya percaya jika kita bersyukur dengan setiap nikmat kurniaan Tuhan, rezeki itu tidak akan putus. Kita seharusnya menghargai perjalanan ini.

“Ini adalah sebentuk hadiah Illahi yang dibingkaikan dengan cukup indah,” tutur gadis cantik yang jelas dari relung matanya menyanyi dan mencintai peminat sejatinya.

Suatu jihad kecil

Sering kali singgah di benak wanita kecil molek ini, siapa sangka daripada hanya sebuah impian kecil kini terbina sebuah empayar yang mewangi membungai taman. Dia sendiri tidak percaya dengan satu persatu kejayaan yang diukir indah.

“Satu perjalanan yang produktif. Banyak ilmu ditimba berlantaikan pahit manis dunia perniagaan. Saya sendiri tidak menyangka, Tuhan akan membuka pintu rezeki dengan Naelofar Hijab ini. Saya bermula dengan hanya bermimpi dan memasang impian.

“Cabaran kritikal adalah mewujudkan satu sistem yang terbaik dan efisien. Kami bukan bermula besar. Kita cuba, gagal dan cuba lagi. Pemahaman dan ilmu perniagaan merupakan aset berharga yang memenuhi dada sekarang.

“Memang sukar untuk memenuhi cita rasa pengguna. Tudung kita tidak boleh ‘eksperimen’ sangat. Tidak boleh terlalu unik dan tidak boleh juga terlalu biasa. Itu cabaran yang harus kami depani saban hari,” ujarnya.

Menutup bicara tentang Naelofar Hijab, jutawan muda ini menganggap jenama yang menjadi permata hatinya itu adalah jihad kecil dalam menyebar luas dakwah Islam.

Bukan mahu digelar ustazah atau ahli ulama, Neelofa mahu terus menjadi inspirasi kepada wanita muda dalam mencorak ekonomi dan jati diri.

Mengakui status sebagai selebriti banyak membantu namun itu cuma untuk jangka masa pendek. Untuk bertahan, dia memerlukan kepakaran sebagai seorang peniaga yang bijak mengemudi bahtera jenamanya untuk mengelilingi dunia

“Ada peminat yang datang jumpa saya beritahu, mereka mula memakai tudung selepas melihat saya bertudung. Allah menggerakkan hati mereka untuk menutup aurat, bukan kerana saya tetapi kerana keindahan bertudung itu sendiri. Saya cuma pengantara yang juga hamba kepada-Nya,” katanya.

Sumber: www.utusan.com.my

Tidak terhad tudung saja



Pada 2010 jenama ini mengetengahkan ratusan rekaan tudung dengan 150 potongan dan warna. Menariknya ia diusahakan pasangan suami isteri Hadiana Sujadi dan Abdul Halimi Taifor yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang fesyen.

Namun saban minggu dengan memperkenalkan rekaan terbaru, nama Neng Geulis mula mendapat perhatian terutama wanita yang begitu mementingkan gaya dalam berhijab.

Rekaan tudung yang dihasilkan bukan saja lebih moden, malah boleh disuai padan dengan fesyen dan gaya Muslimah terkini supaya penampilan lebih segar dan bergaya. Kejayaannya mengekalkan kualiti dan keselesaan menyebabkan jenama ini kekal sehingga ke hari ini.

Menurut Hadiana, tidak mahu terikat dengan tudung semata-mata, Neng Geulis mula mengorak langkah menghasilkan busana kasual dan separa kasual bagi memberikan lebih pilihan kepada peminatnya. Apa yang membuatkannya gembira menerusi padanan ini wanita tampil lebih bergaya dalam apa juga acara dihadiri mereka.

“Saya yakin semua wanita inginkan penampilan anggun dan memikat. Mereka bukan saja perlu menjaga wajah dan tubuh sebaliknya penampilan menerusi pemakaian busana juga sangat penting. Dengan mengeluarkan pakaian di Neng Geulis kami dapat mendidik wanita untuk menyayangi diri mereka dan tampil bergaya tanpa mengira usia,” katanya.

Kata Hadiana, apa yang membuatkan jenama itu mempunyai pelanggan setia disebabkan kualiti dalam setiap fabrik diketengahkan. Malah ia sama seperti jenama antarabangsa yang lain. Bijak memilih material dan sanggup terbang ke luar negara setiap bulan, jelas Hadiana ia sangat penting kerana dia ingin merasai sendiri fabrik yang akan digunakan dalam penghasilan busananya.

“Untuk busana saya menggunakan sifon Itali dan Korea disebabkan materialnya lebih lembut, kurang kedut, sejuk serta terletak cantik pada tubuh si pemakai. Walaupun terpaksa berulang-alik ke luar negara namun saya berpuas hati melihat hasilnya,” katanya yang akan mengeluarkan busana untuk wanita berbadan besar tidak lama lagi.

Beroperasi di The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, untuk koleksi sedia dipakai, ia turut mengikut musim namun disesuaikan dengan persekitaran budaya Malaysia. Walaupun kelihatannya ia kurang penting tetapi pengeluaran mengikut musim ini membuatkan jenama ini tidak ketinggalan terutama dalam mengeluarkan busana mengikut corak, potongan dan warna.

“Sebab itu kami sudah bersedia untuk pengeluaran 2018 dengan mengetengahkan corak berjalur dan pelbagai jenis jaket. Kedua-duanya bakal menjadi ikutan wanita sama ada yang bertudung atau sebaliknya,” katanya yang mengambil perkataan Neng Geulis daripada bahasa Sunda bermaksud perempuan cantik.

Sumber: www.hmetro.com.my

Saturday, 30 September 2017

Emma Maembong hasilkan seni atas tudung



Menyedari yang bukan semua orang mampu memiliki hasil seninya di atas kanvas, pelakon Emma Maembong muncul dengan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong.

Jelas Emma keinginan untuk mengeluarkan hasil seninya di atas tudung sudah lama dipendam, bagaimanapun kekangan masa membuatkan hasratnya hanya dapat direalisasikan sekarang.

“Saya memang seorang pelukis sebelum bergelar pelakon, Timbul idea bila saya tahu tidak semua mampu membeli hasil seni saya. Jadi adik beradik saya yang lain muncul dengan idea untuk memperkenalkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong.

“Jadi saya terjemahkan hasil seni saya di atas tudung. Bagaimanapun bukanlah bermakna karya ini hanya untuk mereka yang bertudung. Saya juga mahu ia dijadikan koleksi buat mereka yang ingin menghargai nilai seni saya juga,” katanya.

Tidak pernah melupakan bidang lukisan, kata Emma sehingga kini dia masih berkarya. Bagaimanapun kekangan waktu membuatkan dia terpaksa membataskan waktu untuk seninya ini.

“Saya tidak pernah lupakan minat saya dalam bidang lukisan malah setiap hari saya melukis kalau ada waktu terluang. Selalunya saya selalu membawa buku lakaran ke mana-mana sahaja.

“Jadi bila kakak saya, Yaya Maembong memberi idea bagaimana hasil seni itu boleh di nikmati mereka di luar sana, saya setuju untuk tubuhkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong bersama mereka,”katanya.

Sebelum ini, My Sketchbook Shawl By Emma Maembong telah mengeluarkan tiga koleksi tudung melalui Libelle, Metafora, Fatamorgana sebelum ini. Kini empat lagi koleksi terbaharu akan diperkenalkan iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell. Harga setiap koleksi bermula dari harga RM55 sehingga RM 99. - UTUSAN ONLINE

Artikel asal > Emma Maembong hasilkan seni atas tudung

Survei Terbaru: 42% Sekolah Islam di Inggris Mewajibkan Muridnya Berhijab



Hijab masih menjadi perdebatan di berbagai negara termasuk Inggris. Bahkan menurut survei terbaru sekitar 42% sekolah mewajibkan muridnya berhijab. Hal ini kemudian menjadi perdebatan antar beberapa pihak.

Ya, sebuah penelitian menemukan kalau dua dari lima sekolah Islam di Inggris meminta murid-murid perempuannya memakai jilbab karena merupakan bagian dari seragam sekolah. Sekitar 59 dari 142 sekolah Islam di Inggris termasuk SD membuat kebijakan kalau pemakaian hijab itu wajib. Hal tersebut juga diungkapkan oleh Badan National Secular Society (NSS).

Kebijakan itu menjadi kontroversi. Seperti NSS yang tak setuju dengan kewajiban berhijab di sekolah. Pihak NSS pun menulis surat kepada Education Secretary Justine Greening untuk mengungkapkan keprihatinannya atas hal ini. NSS menginginkan kalau hijab tidak menjadi seragam wajib ke sekolah tapi diberikan pilihan bebas saja terutama untuk murid-murid SD.

"Menurut pandangan kami, memaksa anak memakai jilbab atau barang religius lainnya bertentangan dengan nilai dasar di Inggris. Dengan norma HAM yang lebih luas akan hak anak-anak. Ini perlu segera ditangani," tulis pihak NSS seperti dilansir dari Metro.

Salah satu contoh sekolah di Inggris yang sudah menerapkan kebijakan tersebut adalah Feversham College di Bradford, Inggris. Sekolah Menengah Pertama (SMP) itu mengeluarkan kebijakan kalau seragam harus longgar dan sederhana. Jilbab menjadi seragam wajib digunakan oleh para murid perempuan.

Sementara 18 sekolah Islam lainnya menyatakan kalau kebijakan mereka soal jilbab adalah pilihan. Direktur NSS Stephen Evans pun menyarankan agar mengizinkan murid-murid yang masih duduk di bangku SD maupun SMP untuk bebas berekspresi termasuk memilih mengenakan jilbab atau tidak.

"Kebebasan individu bisa berarti apa saja, membiarkan anak-anak mengembangkan kepercayaan diri merek sendiri dan memutuskan sendiri bagaimana memilih. Sekolah harus memberdayakan anak perempuan untuk membuat keputusan sendiri begitu mereka siap melakukannya," ujar Stephen.

Artikel asal > Survei Terbaru: 42% Sekolah Islam di Inggris Mewajibkan Muridnya Berhijab

Gambar-gambar hijab di Instagram

Sumber : https://www.instagram.com/kondanganootd/

 Sumber : https://www.instagram.com/igrepost.27/

 Sumber: https://www.instagram.com/hijabfobia/

Sumber: 

Tonjol gaya ceria si comel



Pengalaman sukar mencari tudung dan jubah untuk si kecil membuatkan Shirin Faira Fazlin Ibrahim mendapat idea membuka butik pakaian kanak-kanak perempuan secara dalam talian.

Ujarnya, dia terpaksa membeli kain dan membuat tempahan dengan tukang jahit sebelum ini kerana agak sukar mendapatkan pakaian digemari anak perempuannya yang berusia lapan tahun.

Bagi berkongsi keselesaan dan mudah mendapatkan pakaian untuk anak perempuan terutama jubah serta tudung segera, dia membuka butik dalam talian, Princess Lil Zahra bersama rakan kongsinya, Aizura Awang Bakar.

Koleksi pakaian kanak-kanak yang ditampilkan untuk usia dua hingga 13 tahun itu dijual pada harga RM89 hingga 99 (jubah) dan RM25 hingga RM35 (tudung).

Kebanyakan koleksi yang ditampilkan rekaan sendiri sebelum dihantar untuk disiapkan oleh tukang jahit tempatan.



“Konsep moden dipilih pada setiap helaian, namun masih mengekalkan ciri rekaan yang comel, selesa dan mudah digayakan, sesuai untuk dipakai oleh si kecil.

“Penggunaan fabrik crepe, sutera crepe dan satin diutamakan kerana ia lebih sejuk serta memberikan kesan alunan yang menarik kepada si pemakai.

“Rekaan jubah dan tudung atau selendang segera yang sedia dipakai itu akan berubah mengikut musim. Kebiasaannya, butik ini menampilkan satu rekaan dengan 10 warna pilihan yang kebanyakannya pastel ataupun terang,” katanya.

Ujarnya, dia lebih suka menampilkan koleksi yang banyak bermain dengan warna bagi menonjolkan gaya yang ceria dan keanak-anakan.



Fabrik polos tanpa corak sengaja digunakan kerana mahu mengekalkan gaya yang ringkas dan sederhana agar penampilan si kecil tidak terlalu berlebihan.

Bagi koleksi tudung dan selendang segera, penggunaan fabrik kapas likra lebih sesuai kerana ia lebih sejuk serta selesa digayakan.

Pada masa sama, ada juga koleksi yang menggunakan fabrik lycra berkilat untuk disesuaikan dengan tema majlis istimewa yang dihadiri.

Semua koleksi terkini jenama berkenaan boleh didapati secara langsung di butik vendor, Pick A Dress, Seksyen 9, Bangi atau secara dalam talian di www.instagram.com/princesslilzahra/ 

Artikel asal > Tonjol gaya ceria si comel

Tudung selesa ceriakan si cilik



Mudah digayakan dan selesa dipakai, antara dua ciri yang membuatkan hati si kecil berubah menjadi riang ketika mengenakan tudung atau selendang segera.

Bertambah menarik perhatian apabila pilihan warna ceria pada koleksi tudung sedia dipakai membuatkan anak anda bertambah puas.

Pengalaman sukar untuk mendapatkan tudung mengikut saiz dan rekaan sesuai untuk dua anak perempuannya membuatkan Nurzulali Mohd Tahet gemar membuat sendiri tudung untuk anaknya itu.

Ditambah dengan sikapnya yang tidak suka membeli-belah menguatkan azam untuk menjahit tudung atau selendang bukan saja untuk si kecil tetapi dirinya sendiri.

“Ketika bekerja sebagai juruanalisis sistem di institusi perbankan, saya menerima tempahan menjahit tudung disebabkan memang hobi saya. Sepanjang saya bekerja hingga ke hari ini, semua tudung dan selendang dipakai dijahit sendiri, malah dua anak perempuan saya juga memakai tudung jahitan saya.

“Selepas 15 tahun bekerja, saya berhenti pada 2012 dan mula aktif belajar membuat tudung untuk memantapkan kemahiran.

“Kemudian, saya belajar cara berniaga secara dalam talian dengan bimbingan Irfan Khairi dan akhirnya memilih untuk menjalankan perniagaan yang memberi fokus terhadap koleksi tudung kanak-kanak,” katanya yang membuka butik Online, Mama Ameera.

Bermula dengan hanya dua mesin mudah alih, dia menambah enam mesin jahit industri hingga memiliki bengkel jahitan sendiri selepas memberi tumpuan penuh kepada perniagaannya itu.

Ujarnya, kebanyakan rekaan tudung yang ditampilkan adalah idea sendiri. Misalnya, koleksi Button Kid Shawl. Idea menghasilkan koleksi selendang yang berbutang itu hadir selepas dia melihat kehadiran pelangi selepas hujan.

Bagi memudahkan pemakaiannya terutama kanak-kanak yang masih kecil, dia menambah jahitan butang bagi membolehkan pemakaiannya diubah mengikut kesesuaian anak.

Koleksi berkenaan menggunakan kain kapas lycra kerana ia lebih sejuk dan selesa dipakai oleh si kecil. Ia didatangkan dalam lima warna terang yang paling digemari kanak-kanak termasuk merah jambu, biru dan ungu lembut.

Selain selendang, jenama berkenaan turut menampilkan himpunan tudung sarung yang diperbuat daripada fabrik moss crepe. Menariknya, rekaan ini boleh digayakan dengan dua cara kerana ia disiapkan dalam dua warna berbeza iaitu terang di bahagian luar dan rona yang lebih lembut di dalam.

Kebanyakan rekaan dihasilkan hanya mengeluarkan maksimum 10 warna berbeza bagi memenuhi cita rasa si kecil yang boleh digayakan sekitar usia tujuh hingga 12 tahun.

Material yang menjadi pilihannya ialah lycra, kain kapas lycra dan moss crepe kerana ia lebih sesuai serta selesa untuk digayakan kanak-kanak. Bermula pada harga RM25 hingga RM35, semua koleksi tudung kanak-kanak jenama berkenaan boleh didapati secara dalam talian di Facebook atau Instagram, mymama-ameera dan Google Play Store, Kids Hijab Mama Ameera.

Selain menjahit tudung dan selendang untuk bersantai, dia turut menampilkan koleksi tudung sekolah sedia dipakai dalam warna asas iaitu putih, biru dan hitam.

Kini, dia baru mula menjahit dan memperkenalkan koleksi telekung kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menggunakan kain kapas sulam dan renda berwarna.

Baginya, bidang jahitan ini tidak perlu dipandang rendah kerana pelbagai bidang yang boleh diterokai.

“Di sini, saya ingin tekankan bahawa wanita bekerjaya yang berhenti bekerja atas apa sebab sekalipun tidak boleh mensia-siakan pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi ibu yang bekerja dari rumah,” tegasnya.

Artikel asal > Tudung selesa ceriakan si cilik