Saturday, 23 December 2017
Tidak terhad tudung saja
Pada 2010 jenama ini mengetengahkan ratusan rekaan tudung dengan 150 potongan dan warna. Menariknya ia diusahakan pasangan suami isteri Hadiana Sujadi dan Abdul Halimi Taifor yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang fesyen.
Namun saban minggu dengan memperkenalkan rekaan terbaru, nama Neng Geulis mula mendapat perhatian terutama wanita yang begitu mementingkan gaya dalam berhijab.
Rekaan tudung yang dihasilkan bukan saja lebih moden, malah boleh disuai padan dengan fesyen dan gaya Muslimah terkini supaya penampilan lebih segar dan bergaya. Kejayaannya mengekalkan kualiti dan keselesaan menyebabkan jenama ini kekal sehingga ke hari ini.
Menurut Hadiana, tidak mahu terikat dengan tudung semata-mata, Neng Geulis mula mengorak langkah menghasilkan busana kasual dan separa kasual bagi memberikan lebih pilihan kepada peminatnya. Apa yang membuatkannya gembira menerusi padanan ini wanita tampil lebih bergaya dalam apa juga acara dihadiri mereka.
“Saya yakin semua wanita inginkan penampilan anggun dan memikat. Mereka bukan saja perlu menjaga wajah dan tubuh sebaliknya penampilan menerusi pemakaian busana juga sangat penting. Dengan mengeluarkan pakaian di Neng Geulis kami dapat mendidik wanita untuk menyayangi diri mereka dan tampil bergaya tanpa mengira usia,” katanya.
Kata Hadiana, apa yang membuatkan jenama itu mempunyai pelanggan setia disebabkan kualiti dalam setiap fabrik diketengahkan. Malah ia sama seperti jenama antarabangsa yang lain. Bijak memilih material dan sanggup terbang ke luar negara setiap bulan, jelas Hadiana ia sangat penting kerana dia ingin merasai sendiri fabrik yang akan digunakan dalam penghasilan busananya.
“Untuk busana saya menggunakan sifon Itali dan Korea disebabkan materialnya lebih lembut, kurang kedut, sejuk serta terletak cantik pada tubuh si pemakai. Walaupun terpaksa berulang-alik ke luar negara namun saya berpuas hati melihat hasilnya,” katanya yang akan mengeluarkan busana untuk wanita berbadan besar tidak lama lagi.
Beroperasi di The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, untuk koleksi sedia dipakai, ia turut mengikut musim namun disesuaikan dengan persekitaran budaya Malaysia. Walaupun kelihatannya ia kurang penting tetapi pengeluaran mengikut musim ini membuatkan jenama ini tidak ketinggalan terutama dalam mengeluarkan busana mengikut corak, potongan dan warna.
“Sebab itu kami sudah bersedia untuk pengeluaran 2018 dengan mengetengahkan corak berjalur dan pelbagai jenis jaket. Kedua-duanya bakal menjadi ikutan wanita sama ada yang bertudung atau sebaliknya,” katanya yang mengambil perkataan Neng Geulis daripada bahasa Sunda bermaksud perempuan cantik.
Sumber: www.hmetro.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment