Busana anggun dan sopan bukan hanya untuk digayakan pada hari raya. Menghadiri majlis rasmi, minum petang, memeriahkan kenduri saudara dan rakan, waima ke pejabat sekalipun, kurung moden memang pilihan sesuai buat golongan wanita bertudung.
Bertepatan dengan gaya elegan wanita kini, jenama fesyen Muslimah tempatan, De Sophea membawakan koleksi baju kurung dan jubah dengan motif ringkas yang berkonsepkan rekaan moden, sederhana dan maya, namun masih mengekalkan kesantunan wanita.
Pemilik jenama itu, Nadzatul Nabila Roslan berkata, pihaknya menyediakan pelbagai koleksi baju kurung dan jubah untuk wanita moden yang mementingkan nilai sopan dan gaya dalam setiap langkah.
“Kebanyakan koleksi De Sophea sebelum ini menggunakan elemen polos, namun pada kali ini kami ingin mengeluarkan busana bercorak dengan bertemakan maya. Antaranya, bermotif petak, bunga-bungaan dan retro.
“Konsep ini sangat unik dan memerlukan si pemakai lebih berani untuk menggayakannya. Ia ringkas, tidak berlebihan, tetapi masih menyerlahkan sisi elegan wanita.
“Paling utama, koleksi ini menjanjikan gaya yang jauh berbeza dengan kebanyakan busana Muslimah. Ia anggun dan unik untuk diperagakan dalam apa saja majlis. Bagi yang sukakan gaya kasual, kurung moden dalam koleksi ini juga sesuai dipadankan dengan seluar. Ini bermakna, si pemakai boleh berada dalam dua majlis dan situasi berbeza dengan hanya satu busana ringkas,” katanya.
Selain busana ringkas, Nabila berkata, jenama itu turut menyediakan pilihan koleksi mewah dan eksklusif dengan perincian batu kristal.
“Sulam dan ropol turut digunakan untuk menaikkan nilai estetika setiap koleksi yang dikeluarkan. Bersesuaian dengan trend tahun ini, jubah dan jubah gaun kami turut menyelitkan teknik lipatan untuk nampak lebih eksklusif. Sementara warna koleksi bergantung kepada kesesuaian rekaan pakaian yang dihasilkan.
“Kebiasaannya saya akan beri dua pilihan tema warna kepada pelanggan sama ada pastel atau warna terang. Untuk menjamin keselesaan si pemakai, kami mengimport fabrik utama untuk setiap koleksi dari Korea dan Jepun.
Fabrik berkualiti ini penting bagi memastikan setiap busana direka sesuai dengan perubahan cuaca di Malaysia. Ia juga tidak jarang dan panas serta sangat praktikal untuk digayakan,” katanya.
Dengan garapan elemen moden kontemporari, De Sophea masih menerapkan nilai estetika tradisional bagi sesetengah koleksi khas untuk penggemar pakaian tradisional.
“Setiap rekaan baju kurung dan jubah didatangkan dalam saiz XS sehingga XXL. Kami juga menawarkan harga yang sangat berpatutan bermula dari RM150 sehingga RM300. Semua koleksi ini sesuai dipakai individu dalam lingkungan usia 18 hingga 45 tahun,” katanya.
September ini, De Sophea akan menyertai Brunei Islamic Fashion Week (BIFASH) yang dijadualkan berlangsung di Rizqun International Hotel, Gadong, Brunei.
Sumber: Harian Metro
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment