Sunday, 24 September 2017

Eksklusif, tampak mewah





Meskipun rekaan tudung dan selendang di pasaran seakan-akan cendawan tumbuh selepas hujan, rekaan hijab yang tampak eksklusif dan mewah menjadi pilihan utama sesetengah Muslimah yang mementingkan penampilan serta gaya.
Oleh itu, pengeluar tudung jenama Zuria Fatmi kini lebih fokus kepada pengeluaran selendang dan bawal rekaan eksklusif, unik dan premium memandangkan permintaan untuk koleksi itu mendapat sambutan di luar jangkaan sejak mula diperkenalkan awal tahun ini.
Pengasasnya, Zuria Fatmi Mohamed berkata, rekaan unik mendapat permintaan menggalakkan kerana semakin ramai wanita yang mementingkan nilai eksklusif.
Bagi Zuria, dia sendiri menggemari fesyen yang nampak berbeza untuk digayakan, lalu mendapat ilham menghasilkan rekaan tersendiri khusus buat wanita berhijab.
Katanya, untuk koleksi terbaru jenama itu mengeluarkan rekaan bawal bercorak dengan label ZF EST.2017 dan disertai ‘twilly’ dengan corak yang sama.
“Twilly ini biasanya dikeluarkan oleh jenama mewah untuk diikat pada beg tangan sebagai hiasan atau juga boleh diikat sebagai reben di kepala atau leher sebagai aksesori, tapi kerana inginkan kelainan, kami keluarkannya dengan jenama kami sendiri.
“Bagi setiap pembelian tudung ini, pelanggan mendapat twilly secara percuma. Oleh kerana masih baru, kami bermula dengan tanda pengenalan ‘trust in quality’ yang bermaksud kami cuba bina keyakinan pelanggan dengan kualiti yang ditawarkan.
“Bermula daripada pemilihan material, menjahit, penilaian dan pemeriksaan kualiti, pembungkusan dan promosi kami akan teliti pada setiap helaian.
“Setiap warna dan rekaan kami adalah eksklusif kerana ia dikeluarkan dalam kuantiti terhad dan stok yang sama tidak akan ditambah. Jika koleksi itu habis, kami akan keluarkan rekaan atau warna yang baru.
“Ini bermakna, rekaan yang sama tidak akan diulang kerana mahu memberi laluan untuk rekaan lain. Selain itu, kami gemar membuat pelanggan ternanti-nanti rekaan seterusnya yang akan kami umumkan,” katanya.
Diasaskan ketika Zuria masih lagi menuntut dalam pengajian tahun tiga di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, baginya ia bukan penghalang kerana minatnya dalam perniagaan di samping menjana pendapatan untuk menampung perbelanjaan belajar.
Katanya, kehilangan ayah tercinta pada 2015 menguatkan lagi tekadnya untuk berdikari dan membina jenamanya sendiri.
Koleksi tudung Zuria Fatmi boleh didapati dengan harga RM30 untuk semua jenis tudung polos dan RM65 bagi bawal bercorak.
Menurutnya, pada peringkat permulaan dia hanya mengeluarkan lima rekaan bawal Turki dengan pilihan antara lima ke 10 warna bagi setiap rekaan, 10 warna bawal polos dan dua jenis bawal bercetak rekaannya sendiri.
Namun, kerana sambutannya amat menggalakkan, Zuria menambah koleksi bawal dan selendang polos masing-masing sebanyak lapan dan 13 warna berlainan.
“Kami gunakan satin sutera pusam berkualiti untuk tudung bawal, namun ditawarkan pada harga berpatutan kerana sasaran kami adalah wanita berpendapatan sederhana.
“Material ini tidak sama dengan satin biasa kerana ia tidak terlalu berkilat, tapi tampak mewah dan tidak terlalu licin menjadikan ia mudah dibasuh, digosok, dibentuk dan tidak panas walau dipakai seharian.
“Begitu juga selendang, saya gunakan sifon crepe yang tidak terlalu nipis dan berkualiti tinggi kerana ia tidak terlalu lembut dan mudah dibentuk,” katanya.
Menurut Zuria, buat masa ini butiknya beroperasi secara dalam talian, namun kini merancang membuka butik fizikal apabila tiba masanya kelak.

Sumber : Harian Metro
Oleh :Yusliza Yakimir Abd Talib

No comments:

Post a Comment