Monday, 28 August 2017

Gaya Fesyen Tudung untuk Bersukan

Penampilan wanita berhijab ketika bersukan bukan senario asing dalam masyarakat di negara ini malah atas kesedaran terhadap pentingnya melakukan aktiviti kecergasan, mereka kini semakin berkeyakinan untuk bersukan tidak kira di mana saja.




Bagaimanapun, pemilihan tudung bersesuaian mungkin menjadi masalah buat mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas di negara ini.
Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana peluh tidak dapat diserap dengan baik jika memilih fabrik tidak bersesuaian hingga menimbulkan ketidakselesaan.



Jelas pengasas tudung sukan Raqtive, Prof Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, rasa panas akibat mengenakan tudung biasa menyebabkan ramai wanita tidak selesa melakukan aktiviti disukai.
Katanya, pengalaman sendiri ketika melakukan aktiviti kecergasan seperti berjoging dan aerobik kira-kira lima tahun lalu menjadi sumber inspirasi untuknya melakukan kajian terhadap fabrik terbaik untuk aktiviti riadah.
“Agak sukar sebenarnya memilih tudung sesuai untuk bersukan. Ketika itu pilihan yang ada hanya tudung bawal yang fabriknya agak tebal dan tidak menyerap peluh.
“Dari situ timbul idea untuk mencipta tudung menggunakan material serap peluh dan sejuk. Saya ambil masa beberapa bulan untuk membangunkan produk ini bermula dengan melakukan kajian pasaran.
“Pada awal 2012, masih tiada lagi pasaran tudung hijab di negara ini, yang ada hanya beberapa jenama dari luar negara yang mengeluarkan produk itu. Pada 2013 saya mengeluarkan produk pertama iaitu hijab sukan pro yang menyasarkan sukan tertentu seperti larian, larian jarak jauh, menembak dan berbasikal,” katanya.
Menyasarkan Muslimah yang aktif, Dr Nurul Shahnaz yang juga pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, seterusnya menghasilkan rekaan hijab sukan standard yang diberi potongan lebih panjang berbanding hijab sukan pro.
Dilengkapi sengkuap pada bahagian depan tudung, ia membuatkan muka pemakai lebih bujur selain tidak mudah rosak jika memakai topi keledar selain penjagaannya juga mudah.




Koleksi itu didatangkan dengan saiz bermula M hingga XL supaya dapat memberi lebih banyak pilihan untuk pelanggan.

Kedua-dua produk itu sesuai untuk sebarang jenis sukan, sama ada maraton, bola jaring, olahraga atau senaman di gim, ia pasti memberikan keselesaan maksimum kepada si pemakai.
Potongan lebih pendek hijab sukan pro menjadikan tudung ini lebih berciri aerodinamik, melekap di muka dan sesuai untuk sukan lasak seperti triathlon atau larian jarak jauh kerana ia mudah dimasukkan ke dalam baju.
Material mikro fiber khusus untuk aktiviti bersukan yang diguna Raqtive membuatkan hijab itu cepat meresap dan menyejat peluh. Ia cepat kering, tidak berbau dan ringan, berbeza dengan fabrik likra yang mudah meregang tetapi lambat menyejat peluh.
Hijab sukan pro dilengkapi garisan pemantul cahaya di bahagian belakang tudung bagi memudahkan mereka yang bersukan pada awal pagi atau malam dilihat.
Hijab sukan standard mempunyai 21 warna pilihan termasuk kombinasi warna sengkuap dan badan tudung.
Dr Nurul Shahnaz berkata, sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 juga, jenama itu turut menaja hijab sukan untuk atlet bertudung yang bertanding dalam 13 sukan antaranya hoki dan bola jaring.



Sumber:  Harian Metro

1 comment:

  1. mmg bergaya ... suka suka ... ada tak sports hijab yg kurang labuh sikit?

    ReplyDelete