Monday, 28 August 2017

Gaya Fesyen Tudung untuk Bersukan

Penampilan wanita berhijab ketika bersukan bukan senario asing dalam masyarakat di negara ini malah atas kesedaran terhadap pentingnya melakukan aktiviti kecergasan, mereka kini semakin berkeyakinan untuk bersukan tidak kira di mana saja.




Bagaimanapun, pemilihan tudung bersesuaian mungkin menjadi masalah buat mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas di negara ini.
Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana peluh tidak dapat diserap dengan baik jika memilih fabrik tidak bersesuaian hingga menimbulkan ketidakselesaan.



Jelas pengasas tudung sukan Raqtive, Prof Madya Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, rasa panas akibat mengenakan tudung biasa menyebabkan ramai wanita tidak selesa melakukan aktiviti disukai.
Katanya, pengalaman sendiri ketika melakukan aktiviti kecergasan seperti berjoging dan aerobik kira-kira lima tahun lalu menjadi sumber inspirasi untuknya melakukan kajian terhadap fabrik terbaik untuk aktiviti riadah.
“Agak sukar sebenarnya memilih tudung sesuai untuk bersukan. Ketika itu pilihan yang ada hanya tudung bawal yang fabriknya agak tebal dan tidak menyerap peluh.
“Dari situ timbul idea untuk mencipta tudung menggunakan material serap peluh dan sejuk. Saya ambil masa beberapa bulan untuk membangunkan produk ini bermula dengan melakukan kajian pasaran.
“Pada awal 2012, masih tiada lagi pasaran tudung hijab di negara ini, yang ada hanya beberapa jenama dari luar negara yang mengeluarkan produk itu. Pada 2013 saya mengeluarkan produk pertama iaitu hijab sukan pro yang menyasarkan sukan tertentu seperti larian, larian jarak jauh, menembak dan berbasikal,” katanya.
Menyasarkan Muslimah yang aktif, Dr Nurul Shahnaz yang juga pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, seterusnya menghasilkan rekaan hijab sukan standard yang diberi potongan lebih panjang berbanding hijab sukan pro.
Dilengkapi sengkuap pada bahagian depan tudung, ia membuatkan muka pemakai lebih bujur selain tidak mudah rosak jika memakai topi keledar selain penjagaannya juga mudah.




Koleksi itu didatangkan dengan saiz bermula M hingga XL supaya dapat memberi lebih banyak pilihan untuk pelanggan.

Kedua-dua produk itu sesuai untuk sebarang jenis sukan, sama ada maraton, bola jaring, olahraga atau senaman di gim, ia pasti memberikan keselesaan maksimum kepada si pemakai.
Potongan lebih pendek hijab sukan pro menjadikan tudung ini lebih berciri aerodinamik, melekap di muka dan sesuai untuk sukan lasak seperti triathlon atau larian jarak jauh kerana ia mudah dimasukkan ke dalam baju.
Material mikro fiber khusus untuk aktiviti bersukan yang diguna Raqtive membuatkan hijab itu cepat meresap dan menyejat peluh. Ia cepat kering, tidak berbau dan ringan, berbeza dengan fabrik likra yang mudah meregang tetapi lambat menyejat peluh.
Hijab sukan pro dilengkapi garisan pemantul cahaya di bahagian belakang tudung bagi memudahkan mereka yang bersukan pada awal pagi atau malam dilihat.
Hijab sukan standard mempunyai 21 warna pilihan termasuk kombinasi warna sengkuap dan badan tudung.
Dr Nurul Shahnaz berkata, sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 juga, jenama itu turut menaja hijab sukan untuk atlet bertudung yang bertanding dalam 13 sukan antaranya hoki dan bola jaring.



Sumber:  Harian Metro

Friday, 25 August 2017

Gaya Fesyen Hijab: 10 Hijabista yang Anda Harus Follow di Instagram

Gaya Fesyen Hijab: 10 Hijabista yang Anda Harus Follow di Instagram


Aplikasi Instagram telah menjadi salah satu cara baru untuk berkomunikasi dan berinteraksi hanya melalui gambar. Selain berkongsi gambar, aplikasi ini telah menjadi medan jual beli di antara pemilik perniagaan besar dan kecil. Para selebriti juga dapat berinteraksi bersama peminat-peminat mereka tak mengira tempat dan masa. Terdapat beberapa orang juga yang berjaya mengecap status ‘Instafamous’ hanya kerana mempunyai bilangan pengikut yang ramai. Kebanyakkan dari mereka seringkali dijadikan inspirasi harian sama ada dari segi pakaian, kerjaya, dan sebagainya. Di sini kami senaraikan 10 akaun Instagram hijabista yang menarik untuk dijadikan inspirasi khas buat anda.

  1. Vivy Yusof 




Vivy Sofinas Yusof merupakan seorang ibu, isteri, pengasas jenama Duck Scarves dan juga Pengarah Urusan Fashion Valet yang tidak asing lagi dari dunia Instagram. Instagram ikon fesyen ini mempunyai lebih 846,000 followers dan telah memuat naik hampir 7,000 keping gambar dan video. Vivy amat disenangi oleh pengikutnya kerana kapsyen beliau yang lucu dan mencuit hati. Selain itu, gaya fesyen beliau dan telatah comel anak-anaknya sentiasa menjadi tumpuan pengikutnya.

Instagram: @vivyyusof

2. Sahar Foad



Gadis Mesir ini merupakan seorang jurutera dan ikon fesyen hijab. Gaya hijabnya yang bersahaja menjadi ikutan dan inspirasi kepada 224,000 followers nya. Beliau juga telah dilantik menjadi model dan duta kepada sebuah jenama sukan muslimah di Mesir. Laman Instagramnya penuh dengan pengembaraannya ke serata dunia dan juga koleksi menarik “OOTD” beliau.

Instagram: @saharfoad

3. Farah Hanim Razak




Model dan pengacara berbakat ini mencuri tumpuan sejak akhir-akhir ini sejak disunting menjadi wajah baru beberapa jenama hijab terbesar di negara kita. Gadis kelahiran Pahang ini berdarah kacukan rupanya, jadi tidak hairanlah dia sentasa menerima tawaran memperagakan busana Muslimah. Kebanyakkan gambar yang dikongsi bersama 387,000 pengikutnya adalah gambar ketika beliau sedang bekerja dan juga hasil peragaan beliau.
Instagram: @farahanimrazakFarahanim Razak

4. Ascia Al FarajAscia adalah fashionista dan hijabista yang sangat kami adore! Beliau mula menceburi dunia fesyen apabila melancarkan sebuah blog yang dinamakan The Hybrids bersama suaminya yang juga seorang ikon fesyen di Kuwait. Ibu kepada seorang cahaya mata ini mempunyai lebih dua juta pengikut! Tidak hairanlah pelbagai jenama antarabangsa seperti Coach melantik beliau untuk membantu mempromosikan beg tangan mereka. Ascia juga mempunyai sebuah perniagaan yang menjual barang-barang dan aksessori kanak-kanak dan bayi.
Instagram: @ascia_akf

5. Dina Torkia

Jika berkunjung ke United Kingdom, dan bertanyakan siapakah ikon fesyen hijab yang terkenal di situ, sudah pastinya nama Dina Torkia akan disebut. Wanita kacukan Arab-Inggeris ini juga mempunyai label muslimahnya sendiri yang menjual busana dan hijab yang direka khas olehnya. Sejak melahirkan puteri sulungnya pada tahun lalu, Dina kerap berkongsikan gambar anaknya dan kehidupannya sebagai seorang ibu kepada 1.1 juta pengikutnya.
Instagram: @dinatokio

6. Hana Tajima
Rakan karib kepada penyanyi popular Yuna ini, telah membawa busana Muslimah ke taraf yang lebih hebat apabila berjaya menandatangani kontrak bersama Uniqlo dan menghasilkan koleksi Muslimah untuk mereka. Dia merupakan Muslimah pertama yang berpeluang untuk menghasilkan koleksi seumpama ini. Hana Tajima merupakan seorang mualaf yang telah memilih Islam sebagai agamanya pada umur 17 tahun. Cerita dan gaya beliau telah banyak memberi inspirasi kepada wanita di seluruh dunia.

Instagram: @hntaj

7. Nur Rafiza Abdul Talib (Jaja)

Namanya mula mewarnai industri seni tanah air di Malaysia sejak menyertai program realiti Pencarian Nona Manis. Sejak tamatnya program realiti tersebut, Jaja dilihat lebih banyak menjadi model busana Muslimah. Mempunyai kulit hitam manis dan juga muka yang unik menjadikan beliau seorang yang photogenic dan mempunyai editorial look. Tidak hairanlah beliau sentiasa kelihatan selesa dan yakin di hadapan lensa kamera.

Instagram: @jajatalib

8. Ruba Zai

Seorang lagi hijabista dan blogger yang mewarnai dunia Instagram, Ruba Zai yang berasal dari Belanda mempunyai jumlah followers hampir 900,000 orang. Gaya layering yang seringkali dikenakannya telah menarik perhatian para hijabi dari serata dunia. Gaya beliau yang minimal dan effortless ini boleh kita contohi dan amat sesuai dengan cuaca di negara kita.

Instagram: @hijabhills

9. Saufeeya B. Goodson

Sesiapa sahaja yang melawati laman Instagram gadis ini pasti akan berasa kagum dengan kreativti yang ditonjolkan beliau melalui susunan gambar yang dimuatnaik mengikut warna. Mungkin ini sebab utama 263,000 pengikutnya jatuh cinta dengan gaya yang ditampilkan olehnya. Feeya pandai bermain dengan warna dan setiap outfit yang digayakan oleh beliau pastinya on point

Instagram: @feeeeya

 10. Dian Pelangi

Usahawan dan pereka fesyen terkenal dari negara seberang ini mempunyai jumlah followers tertinggi di dalam senarai ini dengan 4.5 juta followers! Beliau berjaya menempa nama dalam bidang fesyen melalui signature look beliau yang colourful and classic. Selain itu, rekaan baju tie dye oleh beliau juga telah berjaya mencuri hati ramai peminat fesyen di nusantara ini. Jadi, apa tunggu lagi? Jom kita follow Dian!

Instagram: @dianpelangi
 
Artikel asal > Gaya Fesyen Hijab: 10 Hijabista yang Anda Harus Follow di Instagram

Gaya Fesyen Tudung: Tudung Mudah Bentuk

Gaya Fesyen Tudung: Tudung Mudah Bentuk



Selepas kemuncak populariti selendang pelbagai gaya, tudung ‘halfmoon’ dan bawal, ramai wanita kini kembali kepada keunikan tudung Turki yang pernah popular satu masa dulu.

Tudung empat segi kini menjadi antara carian popular kerana keunikan corak, keselesaan fabrik dan ikutan trend semasa. Tudung jenis ini bukan setakat ringkas dan mudah dipakai, malah memenuhi kriteria menutup aurat bagi kebanyakan wanita Muslimah.

Membawa kelainan dalam fesyen berhijab, Fuzainy Scarves tampil dengan rekaan tudung empat segi yang lebih elegan, diimport terus dari negara asalnya, Turki.


Menurut pemiliknya, Sharifah Fuzainy Syed Othman, tudung empat segi dengan ukuran yang lebih besar itu memudahkan wanita bergaya mengikut syariat Islam. Ia juga boleh dipelbagai gaya mengikut kreativiti pemakai, sesuai dengan meningkatnya populariti cincin tudung.

“Keistimewaan tudung ini pada kualiti materialnya. Antara fabrik yang digunakan adalah sutera rayon, kapas dan viskos, menjadikan setiap helaian tudung sangat selesa dan sejuk dipakai.

“Sekalipun fabrik ini lembut, ringan dan kelihatan licin, namun ia mudah dibentuk, apatah lagi bagi mereka yang memakai cermin mata,” katanya.

Tidak juga perlu bimbang jika tidak memakai anak tudung kerana tudung ini tidak jarang. Paling utama, ia juga mudah digosok dan tidak cepat renyuk, umpama bonus kepada mereka yang gemarkan sesuatu yang ringkas.

“Setiap helaian tudung Turki ini membawa elemen mewah dan kontemporari. Coraknya unik, menjadikan tudung ini pilihan terbaik bagi kebanyakan wanita yang mementingkan penampilan terkini, dalam masa sama, kekal dengan konsep dan gaya Turki,” katanya.

Mempunyai bidang 50 inci, wanita Islam dapat menutup aurat dengan sempurna. Pemakai tudung ini juga masih tetap kelihatan bergaya dengan rekaan eksklusif bermotifkan floral dan ronanya yang menyerlah.

“Kami juga menyediakan tudung polos sebagai pilihan untuk wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun. Semua tudung boleh didapati pada harga RM55 hingga RM99 sehelai,” katanya.

Artikel asal > Gaya Fesyen Tudung: Tudung Mudah Bentuk

Gaya Fesyen Tudung: Wanita Teladan

x


Wanita berwajah manis ini bukan biasa-biasa orangnya. Mudah mesra dan sentiasa mengamalkan sikap merendah diri menjadikan anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini memiliki 1,001 keistimewaan dalam diri.

Pada usia 32 tahun kini, dia berjaya memiliki segala yang diimpikan setiap wanita iaitu keluarga bahagia, perniagaan yang baik dan kehidupan sempurna menjadikan Elya Shazleen Mohamed antara wanita wajar dicontohi.

Menerajui perniagaan berasaskan fesyen atas jenama Elyashazleen sejak 2012, dia kini memiliki sebuah butik di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya dan sebuah kilang di Bandar Baru Bangi selain aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian.


Berkongsi kisah suka dukanya, Elya Shazleen berkata, dia memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan namun minatnya pada kecantikan dan fesyen mengatasi segalanya.

“Saya sukakan semua benda yang kelihatan cantik dan disebabkan itu sering pastikan penampilan kelihatan cantik walaupun dalam fesyen sederhana menjadi antara faktor tertubuhnya perniagaan ini.

“Saya sukakan gaya ringkas namun tampak elegan. Ramai rakan dan saudara-mara gemar dengan cara saya berfesyen dan bermula daripada itu, saya tekad memulakan perniagaan fesyen ini untuk berkongsi dengan wanita lain mengenai gaya yang tepat dengan diri,” katanya.

Menurutnya, untuk jenamanya, dia bukan saja menjual pelbagai jenis tudung, selendang dan busana malah sebagai pereka dalam setiap rekaannya.

“Kebanyakan idea saya terhasil daripada penyelidikan dan penelitian ketika saya melancong ke luar negara yang saya olah menjadi satu rekaan terbaik untuk jenama saya.

“Selain itu, ahli keluarga dan rakan daripada pelbagai negara menjadi antara pembantu setia saya yang turut berkongsi pelbagai idea menarik untuk menghasilkan satu rekaan lain daripada yang lain,” ujarnya.

Katanya, atas faktor itu dia yakin hala tujunya dalam bidang diceburi adalah tepat memandangkan dia berada dalam kelompok individu yang banyak membantu menyebabkan dia mampu bertahan hingga ke saat ini.

Bermula hanya dengan RM200

Siapa sangka, dengan kejayaan dimilikinya kini, wanita yang mempunyai dua cahaya mata ini memulakan perniagaan diusahakan dengan modal serendah RM200.

Elya Shazleen berkata, dia memulakan perniagaan pada penghujung 2012 dengan modal terbabit tanpa melakukan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Syukur, berkat usaha gigih perniagaan yang saya usahakan, kini semakin berkembang maju dan dalam masa sama saya tidak menanggung bebanan hutang pinjaman untuk memulakan perniagaan.

“Bagi saya segalanya memerlukan perancangan, tidak semestinya perlu modal yang besar untuk memulakan perniagaan. Asalkan berusaha dengan gigih dan tahu apa yang anda mahukan pasti akan berjaya,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan sebaik mungkin modal yang dikeluarkan pada permulaan itu bagi memastikan segala urusan penting dapat diutamakan.

“Sejujurnya, saya memberikan sepenuh perhatian dan usaha dalam mengembangkan jenama ini, dalam setiap rekaan saya sentiasa mengikut perkembangan arus fesyen terkini selain gemar berkongsi idea dengan pelanggan.

“Memandangkan pelanggan adalah keutamaan saya, saya akan pastikan setiap kehendak pelanggan dapat dituruti terutama dalam menghasilkan rekaan terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Elya Shazleen berkata, kini selain fokus kepada urusan butik, dia berusaha sebaik mungkin untuk menumpukan perhatian dalam perniagaan percetakan baju yang dijalankan di kilang miliknya.

“Dulu saya hanya perlu fokus pada perniagaan fesyen namun kini saya perlu lebih komited untuk membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan perusahaan percetakan juga berjalan lancar.

“Saya yakin dengan adanya kesungguhan serta kesabaran segalanya dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang serta diharapkan,”ujarnya.

Urus masa sebaik mungkin 

Elya Shazleen yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya mengakui perniagaan yang diceburinya itu adalah hasil sokongan dan kerjasama ahli keluarganya yang tidak lokek berkongsi masa dan tenaga dalam menjayakan perniagaan itu.

“Saya amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga terutama ibu bapa yang amat membantu dalam semua urusan.

“Berkat kerjasama itu juga saya berjaya hingga ke tahap ini dan saya juga amat mengharapkan kejayaan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Bergelar seorang ibu kepada dua cahaya mata yang masih kecil memerlukan Elya Shazleen komited dalam membahagikan masanya sebaik mungkin.

“Saya tidak boleh leka atau buang masa kerana setiap masa saya amat berharga. Baik untuk perniagaan juga untuk keluarga, kedua-duanya memerlukan saya untuk membahagikan masa dengan sebaiknya.

“Selain aspek pembahagian masa yang menjadi antara cabarannya, persaingan dalam pasaran fesyen yang semakin pesat turut memerlukan dia bergerak pantas bagi mendahului pesaing yang lain,” katanya.

Katanya, dalam perjalanan perniagaan, dia sentiasa mengharapkan perjalanan perniagaannya sentiasa dirahmati dan memberi sejuta manfaat kepada orang lain.

“Setiap individu mengharapkan kejayaan dalam apa juga bidang diceburi begitu juga dengan saya. Saya amat berharap jenama Elyashazleen semakin dikenali ramai terutama kepada penggemar fesyen.

“Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah tetapi yakin mampu merealisasikannya suatu hari nanti berkat kerja keras,” ujarnya.


Artikel asal > Gaya Fesyen Tudung: Wanita Teladan

Gaya Fesyen Tudung: Tudung Suai Padan

Gaya Fesyen Tudung: Tudung Suai Padan



Evolusi penggayaan tudung bukan lagi sesuatu yang dilihat baru, malah semakin dipelbagaikan mengikut idea dan kreativiti masing-masing.

Atas faktor itu, dapat dilihat ramai wanita kini tanpa mengira usia tampil dengan kepelbagaian fesyen tudung mahupun selendang yang menambah kemanisan individu terbabit.

Selaku pemilik dan pereka kreatif butik atas talian sepenuhnya, Nor Afizah Abu yang menerajui jenama Feeza Anggun sejak enam tahun lalu berusaha menghasilkan tudung terkini yang boleh disuaipadankan dengan pakaian moden Muslimah.


Menurut Nor Afizah, koleksi tudung Feeza Anggun menggambarkan gaya hidup hijabi yang juga gaya wanita bertudung namun masih boleh berpakaian moden mengikut arus perkembangan fesyen semasa.

“Konsep yang ingin saya ketengahkan bertujuan memudahkan penggayaan tudung yang bersesuaian dengan wanita Malaysia di mana kebanyakannya mempunyai kerjaya dan ingin bergaya dalam waktu yang singkat.

“Selain mudah, antara kelebihan lain koleksi tudung kami adalah didatangkan dalam pelbagai warna bagi memberi banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Nor Afizah berkata, koleksi terbarunya adalah Anggun Adella dan Anggun Elysia yang mempunyai elemen suai padan untuk memudahkan peng­guna memadankannya mengikut pelbagai acara.
“Anggun Adella adalah selendang berkonsepkan selendang segera yang hanya memerlukan 15 saat untuk dipakai menjadikan ia antara rekaan terbaik tahun ini.

“Anggun Elysia pula adalah koleksi selendang segera bercorak yang mempunyai potongan menarik dan terletak di bahu si pemakai. Jadi tidak perlu lagi menggunakan kerongsang yang disemat pada baju. Menggabungkan warna polos sebagai anak tudung, ia dipadankan dengan selendang bercorak di bahagian luar yang menambahkan keanggunan wanita,” katanya.

Menurut Nor Afizah, Anggun Adella dihiasi aksesori bunga yang eksklusif dan mewah di sekeliling tudung yang sememangnya mampu menyerlahkan lagi penampilan si pemakai.

“Selain unsur bunga, Anggun Adella juga dihiasi dengan perincian batu kecil yang berkilau menjadikan selendang ini lebih klasik dan feminin.

“Kedua-dua koleksi ini menggunakan fabrik sifon yang mudah dibentuk, memudahkan penggayaan dan juga menjadikan muka kelihatan lebih runcing,” ujarnya.

Mementingkan kemudahan untuk Muslimah, Feeza Anggun sememangnya sinonim dengan penggunaan fabrik sifon yang sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan 15 warna pilihan buat koleksi Anggun Adella dan 12 warna pilihan untuk koleksi Anggun Elysia.

Dengan pembelian sepenuhnya secara atas talian, Nor Afizah berkata, koleksi ini boleh didapati pada harga RM47 hingga RM79.

“Selain tudung, kami turut menghasilkan rang­kaian blaus iaitu Trisna dan Queensha. Semua rekaan kami menggunakan material premium como crepe.

“Material premium como crepe ini tidak mudah berkedut, hanya perlu menggosok dengan kadar minimum, lembut beralun, sejuk, tidak jarang dan tidak melekap di badan,” katanya.

Artikel asal > Tudung Suai Padan